'Hanya satu persinggahan', Dion Cools transit 3 bulan di Buriram United sebelum khabarnya ke JDT


  • Podium
  • Rabu, 04 Jan 2023

Cools menjadi antara nadi skuad negara mara ke Piala Asia 2023. — FAM

PADA Selasa, pemain pertahanan Harimau Malaya yang menjadi antara nadi skuad negara mara ke Piala Asia 2023, Dion Cools secara sah menyertai kelab gergasi Thailand, Buriram United.

Menerusi satu hantaran di laman media sosial Buriram United, Cools diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain baharu mereka musim ini.

Cools hadir ke Chang Arena bagi mengisi kuota Asia Tenggara (Asean) selepas pemain pertahanan dari Filipina, Diego Florez Bardanca meninggalkan pasukan untuk menyertai seteru utama mereka musim ini, Chonburi FC.

Pemain warisan kelahiran Kuching, Sarawak itu memilih Buriram United selepas kontraknya bersama kelab Republik Czech, FK Jablonec berakhir pada Selasa,

Buriram United yang juga kelab termahal di Asia Tenggara kini berada di kedudukan pertama Liga Thai 1 dengan mengutip sebanyak 39 mata dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah.

Fljiv6VakAAS-SO

Cools bakal menyarung jersi Buriram United musim ini. — Twitter

Di sebalik perkhabaran itu, ada penyokong yang kurang senang dan menganggap destinasi Cools itu hanyalah transit sebelum dia menjejakkan kaki ke kelab elit di selatan tanah air, Johor Darul Takzim (JDT).

Malah situasi Cools disamakan dengan situasi yang pernah dihadapi pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh yang hanya singgah tiga bulan di kelab Police Tero di Thailand.

"Ini modus operandi yang sama macam bawa balik Sumareh dari Police Tero," tulis Emier Danish Haniff di ruangan komen berita tersebut.

"Hanya satu persinggahan," tambah Aliff Brendan.

Abe Janggut turut meninggalkan komen yang mendakwa Cools hanya mampu bertahan selama tiga bulan di Liga Thailand.

"Di Buriram, tiga bulan je, nanti dia akan terbang ke semua orang dah tahu tempatnya," katanya.

Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berjanji akan terus membunuh bola sepak dan membeli pemain hebat dalam negara.

Namun, belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada JDT berhubung usaha mendapatkan tanda tangan Cools setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram