WALAUPUN tidak dapat menurunkan sebilangan besar tonggak pasukan, skuad Harimau Malaya masih berjaya melakar kemenangan selesa dalam dua aksi persahabatan Kelas A menentang Kemboja dan Maldives.
Pendekatan taktikal yang diterapkan ketua jurulatih, Kim Pan-gon dirasakan semakin sebati apatah lagi skuad Harimau Malaya bakal memulakan kempen Piala AFF mereka pada 21 Disember.
Selain itu, kehadiran beberapa pemain simpanan yang bersungguh-sungguh membuktikan kemampuan mereka turut diberi pujian daripada penyokong selepas pada awalnya mempersoalkan kebolehan masing-masing.
Namun, di sebalik barisan skuad yang semakin menyerlah, pemain naturalisasi, Lee Tuck merupakan antara pemain terbaik dalam dua pertembungan itu, baik dari segi pertahanan mahupun menyerang.
Ketika bertemu Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil, penyokong pada awalnya kurang yakin dengan keputusan Pan-gon untuk meletakkan pemain berkenaan dalam kesebelasan utama.
Hal itu adalah kerana prestasi Lee Tuck yang kurang menonjol selepas gagal didaftarkan bersama skuad Sri Pahang FC untuk kempen Liga Super berikutan isu lambakan pemain import.
Tidak cukup dengan itu, penyokong seakan-akan masih tidak dapat melupakan persembahan beberapa pemain berstatus naturalisasi seperti Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula yang cukup mengecewakan.
Lee Tuck merupakan antara import terbaik pernah mewarnai kancah bola sepak tanah air. — Agensi
Bagaimanapun, dalam dua aksi persahabatan itu, Tuck yang beraksi sebagai pemain tengah berjaya menjaringkan dua gol di samping kerap memberi tekanan kepada benteng pertahanan lawan.
Di samping itu, penyokong juga berpuas hati dengan debut pemain kelahiran England itu sehingga berhasrat untuk menyaksikannya secara lebih kerap ketika tugas di peringkat kebangsaan.
Lebih menarik lagi, berdasarkan tinjauan di media sosial, terdapat juga beberapa pendapat bahawa pihak pengurusan Liga Malaysia seharusnya mendapatkan khidmat pemain berusia 34 tahun itu.
Selain aksi yang memukau, kejayaan Tuck untuk memperolehi status warganegara juga memudahkan proses pendaftaran di samping membuka ruang untuk mendapatkan beberapa import lain.
Ketika ini, penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC sepertinya sedang bertarik-tali untuk menyambar khidmat pemain tersebut dalam usaha meningkatkan lagi kualiti skuad masing-masing.
Malah, peminat setia Tok Gajah juga dilihat tidak mahu berdiam diri dengan terus mendesak pihak pengurusan untuk menawarkan kontrak lebih lumayan bagi mengelak kelab lain daripada mendapatkan Lee Tuck.
Tetapi, baru-baru ini, terdapat juga khabar angin yang mengatakan bekas majikan pemain berketinggian 1.75m berkenaan, iaitu Negeri Sembilan FC merupakan destinasi terbaik untuk meneruskan kariernya.
Satu hantaran daripada penyokong menerusi laman Facebook State of Nine FC seakan-akan memberi gambaran bahawa wajah baharu Harimau Malaya itu akan pulang bersama skuad Jang musim depan.
"Insya-ALLAH, Lee Tuck akan kembali bermain di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi tahun depan sebagai pemain lokal," tulisnya.
Adakah Lee Tuck memberi gambaran baharu mengenai masa depan kariernya?
Melihat kepada ruangan komen, pendapat itu seolah-olah diterima baik ramai pihak, apatah lagi dengan Negeri Sembilan FC bakal kehilangan sebilangan besar tonggak pasukan untuk kempen Liga Super akan datang.
"Dah dua hari nampak Lee Tuck main untuk skuad kebangsaan dan saya berasakan bahawa dia masih beraksi dengan cemerlang. Nampaknya seperti seorang yang rajin," kata ZaiAzhan Zainal.
"Tahap kecergasan dia ni memang lain macam. Rasanya, untuk dia terus bermain di tahap terbaik untuk tiga tahun lagi, mungkin tiada masalah," kata Muhd Alif Shakir.
Hantaran itu sepertinya berjaya menarik perhatian pemain itu yang sempat memberi 'like', namun tidak memberi sebarang kata putus apabila kontraknya masih berbaki bersama Sri Pahang FC.
Sebelum ini, Lee Tuck pernah menabur khidmatnya selama semusim bersama pasukan itu, iaitu pada 2017 yang mana merupakan kelab tempatan pertama yang disertainya.
Ketika itu, dia yang kurang dikenali dalam kalangan penonton setia bola sepak tanah air hanya berjaya mengumpul 20 penampilan dan mengumpul lima gol ketika skuad Jang masih berada di Liga Perdana.
Bagaimanapun, prestasi tersebut berjaya mencuri perhatian Terengganu FC yang tidak menunggu lama untuk membawanya masuk, sekali gus menaikkan reputasinya sebagai antara import terbaik Liga Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram