[VIDEO] 'Ada lagi power tapi Mukhairi Ajmal menang Gol Terbaik? Mana perginya calon gol Puskas?'


  • Podium
  • Jumaat, 16 Dis 2022

Mukhairi Ajmal meraih Anugerah Gol Terbaik yang diperkenalkan buat kali pertama dalam ABK 2022. — MFL

HASIL persembahan cemerlang musim ini, bintang muda Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi sekali lagi dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 (ABK22) yang diadakan secara virtual pada Khamis.

Dengan berjaya meledak lapan gol dan 16 hantaran bantuan (assist) buat skuad Harimau Selatan dan mempamerkan aksi konsisten sepanjang musim ini, pemain berusia 20 tahun itu berjaya mempertahankan gelaran tersebut selepas dia memenanginya pada tahun lalu.

Beliau menjadi antara tonggak utama kepada kejayaan luar biasa JDT yang melakar sejarah meraih ‘quadruple’ dengan menyapu bersih semua kejuaraan musim ini iaitu Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

Selain Arif Aiman, pemain muda Selangor FC, Mukhairi Ajmal turut menarik perhatian pada majlis tersebut apabila menjadi pemain pertama meraih Anugerah Gol Terbaik yang diperkenalkan buat pertama kali dalam ABK 2022.

Jaringannya pada minit ke-32 semasa berdepan Melaka United FC pada 1 Oktober lalu dalam aksi Liga Super diangkat oleh penyokong sebagai gol terbaik musim ini.

Meskipun pemenang Anugerah Gol Terbaik ditentukan sepenuhnya oleh undian penyokong, namun sesetengah daripada peminat mempunyai pendapat berbeza dan berasakan ada jaringan lain yang lebih layak menang.

Sebahagian besar penyokong lebih memilih jaringan dari pemain Negeri Sembilan FC (NSFC), Sean Eugene Selvaraj ketika perlawanan Liga Super 2022 menentang Selangor FC pada 31 Julai 2022.

Malah, jaringan dari pemain dari berusia 26 tahun itu turut mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan badan induk itu turut mengesahkan mencalonkan gol itu kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk Anugerah Puskas.

Pada awal Ogos lalu, FIFA juga tidak ketinggalan untuk mengiktiraf jaringan Sean yang mana mereka menyenaraikan gol tersebut dalam senarai tiga gol terbaik dari serata dunia minggu lalu.

"Gol Sean lagi lawa tapi itulah peminat Selangor undi Mukhairi kan. Nak menang anugerah lain hampeh," tulis penyokong bola sepak, Syafiq Razak.

"Kalau pun nak bagi dekat pemain tempatan, gol dari Sean Selvaraj pun padu," komen penyokong Hazwan Noh.

"Mana perginya gol-gol yang nak dihantar Puskas," kata penyokong Mazuan Mujail.

Dalam pada itu, ABK 2022 menyaksikan JDT mendominasi kategori dipertandingkan apabila pemain import mereka, Bergson da Silva turut menggondol anugerah Penjaring Gol Terbanyak Import Liga Super dan Pemain Import Terbaik.

Skuad Harimau Selatan juga meraih anugerah Pasukan Terbaik Liga Malaysia musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram