Fans beri 2 sebab sokong Afro, mahu 'kereta kebal' kekal di Selangor


  • Podium
  • Isnin, 28 Nov 2022

Ke manakah hala tuju Shahrul Nazeem untuk mengembangkan lagi kariernya? — Facebook/Selangor FC

KEKALAHAN 1-2 yang dialami Selangor FC ketika berdepan Johor Darul Takzim (JDT) dalam pentas akhir Piala Malaysia menutup satu musim terumbang-ambing buat mereka.

Meskipun segelintir penyokong berasakan keputusan itu sukar untuk diterima, ramai juga yang mula memasang angan-angan untuk melihat skuad Gergasi Merah terus bertambah baik untuk musim depan.

Hal ini kerana kehadiran ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe sememangnya membawa perubahan buat kelab itu meskipun pilihan pemain sedikit terhad.

Oleh itu, rombakan pastinya didambakan ketika jendela perpindahan dengan pemilik, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin semestinya melakukan pelaburan besar terhadap pasukan.

Selain cuba untuk mendapatkan pemain baharu, pihak pengurusan juga diramal akan menawarkan kontrak kepada tonggak pasukan yang beraksi cemerlang dan konsisten sepanjang musim.

Antara nama yang dikatakan bakal meneruskan bakti bersama juara 33 kali Piala Malaysia itu ialah pertahanan muda, Shahrul Nazeem Zulpakar dengan ramai daripada penyokong menggelarnya sebagai 'Afro'.

Musim ini, dia muncul dalam 18 perlawanan Liga Super, yang mana membuktikan bahawa barisan kejurulatihan meletakkan kepercayaan tinggi kepadanya.

Dalam kempen Piala Malaysia pula, prestasi itu diteruskan dengan Cheng Hoe menjadikan pemain berusia 23 tahun itu antara pemain penting dalam skuad.

WhatsApp Image 2022-11-28 at 11.23.20

Afro cukup dikenali sebagai antara prospek pertahanan terbaik yang dimiliki Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

Sumbangannya di hadapan pintu gol lawan juga tidak kurang hebatnya apabila Shahrul Nazeem berjaya menjaringkan satu gol ketika peringkat separuh akhir berdepan Terengganu FC.

Jadi, tidak hairanlah apabila terdapat khabar angin yang mengatakan kontrak lanjutan bakal ditawarkan kepadanya bagi membolehkannya mengembangkan lagi bakat dan kebolehan.

Bagi penyokong Gergasi Merah pula, cadangan itu dilihat diterima baik, malahan mereka meluahkan kegembiraan itu menerusi laman media sosial masing-masing.

Rata-rata berasakan umurnya yang muda menjadi faktor utama bahawa dia perlu kekal dengan masih terdapat banyak lagi ilmu dan pengalaman boleh diraih bersama Selangor FC.

"Besar tanggungjawab dia galas sebagai pertahanan muda yang kental untuk Selangor FC, jadi saya memang hormat kepada dia. Teruskan kerja keras ini, Afro," kata Joe PJ.

"Dia ni muda lagi, banyak lagi perkara yang perlu dipelajari. Harap Cheng Hoe dan pembantunya, Nidzam Jamil boleh tambah baik untuk menjadi pertahanan yang lebih baik," kata Muhd Fazli.

Selain itu, ada juga antara penyokong yang tertarik dengan gaya permainan Shahrul Nazeem apabila dia dilabel sebagai lasak dan tidak kenal erti putus asa.

"Harap Selangor FC tawarkan kontrak panjang kepada Afro ni kerana saya lihat dia ibarat kereta kebal pasukan dengan hati kering sebagai seorang pemain pertahanan," kata Aidil Runner Klang.

"Afro masih bagus dan semangatnya begitu membara seperti legenda kelab dan negara termasuk Azman Adnan, K Sanbagamaran dan Shahril Arsat. Harap-harap dia terus kekal," kata Shahzidane Zainudin. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram