KEMARAAN Selangor FC ke pentas final Piala Malaysia sememangnya satu kejutan besar setelah mengalami kemerosotan prestasi mendadak menjelang tamatnya kempen Liga Super 2022.
Kini, Red Giants hanya selangkah sahaja lagi untuk merangkul gelaran juara Piala Malaysia ke-34 apabila dijadualkan bertemu pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada Sabtu.
Kejayaan itu membuktikan bahawa magis pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe sesuai dengan kualiti yang ada pada barisan pemain Merah Kuning tersebut.
Antara pemain Selangor yang menyerlah pada kempen Piala Malaysia adalah pemain pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar atau lebih mesra dengan nama panggilan Afro.
Perkara itu diakui jurulatih kelahiran Kedah tersebut setelah melihat Sharul berjaya menyekat beberapa percubaan berbahaya dari pemain import Terengganu FC (TFC) pada perlawanan separuh akhir antara kedua pasukan sebelum ini.
Namun menariknya, prestasi memberangsangkan Afro tersebut turut mendapat perhatian penyokong skuad Penyu yang kagum dengan keupayaan pemain berusia 23 tahun tersebut mematahkan kekuatan pasukan mereka.
Seorang penyokong Terengganu, Hafiz Harun memohon agar pengurusan TFC segera sambar pemain kelahiran Gombak, Selangor itu bagi memperkuatkan lagi barisan pertahanan TFC.
"Saya dah lama berkenan dengan dia (Sharul) ni. TFC tak nak ambil dia ke?" katanya.
Tambah Muhammad Nurhakim: "Molek sungguh. Boleh digandingkan dengan Sharul Nizam. Permainan dia ni 'keras' dan laju. Tapi gaji dah sedia mahal, kalau datang Terengganu gaji ciput."
"Bagus dia masuk, boleh gandingkan dengan Shahrul Nizam dan Alif Zakaria, pasti padu! Kalau Shahrul Nizam cedera, boleh bergilir," jelas Yas Doorship. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram