AKSI pembukaan kempen Piala Malaysia terus dimeriahkan dengan saingan antara empat pasukan yang mengharungi perlawanan pada Khamis.
KL City FC memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia dengan langkah kanan apabila menewaskan PDRM FC 3-0 pada aksi pertama pusingan 16 pasukan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
Sementara itu, Terengganu FC (TFC) pula mengutip bekalan selesa setelah menewaskan Sri Pahang FC 5-1 pada perlawanan pertama pusingan awal Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Pahang.
Tumpuan penyokong bola sepak tempatan pastinya terarah kepada perlawanan antara TFC selaku naib juara Liga Super dengan Pahang yang bukan sahaja bermain di laman sendiri, malah menurunkan dua tonggak naturalisasi baharu, Lee Tuck dan Sergio Aguero buat kali pertama.
Dua pemain Sri Pahang FC itu, masing-masing beraksi di posisi tengah dan serangan tidak dapat membantu pasukan menterjemahkan kejayaan.
Rata-rata pemerhati sukan tempatan menganggap kekalahan skuad Tok Gajah agak memalukan kerana gagal memanfaatkan kelebihan bermain di hadapan ribuan penyokong sendiri.
Aksi pertama Lee Tuck bersama Sri Pahang FC selepas melengkapkan status sebagai pemain naturalisasi. — Facebook
Seorang penyokong, Azri Khalid berpendapat, taktikal ketua jurulatih Sri Pahang, Datuk Dollah Salleh yang menggunakan formasi baharu tidak berhasil untuk menundukkan Sang Penyu yang berada dalam form terbaik selepas berjaya memenangi lapan perlawanan terakhir Liga Super berturut-turut.
"Sangat berisiko bermain formation baharu bila lawan team macam Terengganu yang kuat.
"Back three tak cukup solid nak hadap flanker (pemain sayap) yang laju. Pemain tengah tak close each other. Besar free space dekat tengah.
"Mungkin kena guna atau cari midfield (pemain tengah) yang ada workrate tinggi untuk support Azam Azih. Apapun satu pembaharuan berani cuma tidak kena pada masa," tulisnya di Facebook.
Sementara itu, seorang penyokong, Ola Bola, berpendapat kekalahan Sri Pahang FC berpunca daripada kelemahan di benteng pertahanan.
"Back four Pahang ni awat (kenapa) lembik sangat? Terengganu dapatkan gol hasil kesilapan defend (pertahanan) yang terlalu naik ke atas dan loose marking.
"Bukan tiada peluang cuma penyudahnya tumpul sangat-sangat, mengharapkan Pahang all out untuk perlawanan di Terengganu. Semoga ada keajaiban," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram