Ambil iktibar tragedi rusuhan di Indonesia, FAM kaji SOP penonton di stadium


  • Podium
  • Ahad, 02 Okt 2022

Rusuhan penyokong ketika perlawanan Liga 1 Indonesia antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan mengakibatkan 127 nyawa terkorban pada Sabtu. — Agensi

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memperketatkan kawalan masuk ke stadium sebagai mengambil iktibar daripada insiden rusuhan di Indonesia pada Sabtu.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, walaupun Malaysia mempunyai kawalan keselamatan yang baik di stadium, langkah berjaga-jaga perlu bagi mengelakkan insiden di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, Indonesia yang meragut ratusan nyawa itu, daripada berlaku di negara ini.

Selain itu, beliau berkata, FAM turut akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) kemasukan penyokong ke dalam stadium.

"Memang kami di pihak persatuan (FAM) dan jawatankuasa keselamatan sentiasa berhati-hati. Saya sendiri yakin dengan jawatankuasa keselamatan FAM di bawah Datuk Seri Hazani Ghazali melaksanakan tugas mereka selama ini,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Menurut laporan media Indonesia, insiden di Stadium Kanjuruhan itu tercetus apabila penyokong Arema FC merusuh selepas pasukan mereka tewas 3-2 ke atas Persebaya Surabaya dan setakat ini dilaporkan 129 maut manakala 180 lagi cedera.

Noor Azman pada masa sama berkata, insiden di negara jiran itu perlu dijadikan pengajaran buat penyokong bola sepak tanah air supaya sentiasa menunjukkan semangat kesukanan tinggi, selain perlu bersikap terbuka ketika hadir menyaksikan sebarang perlawanan.

Dalam pada itu, beliau berkata, FAM turut berdukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi tersebut.

"Kami amat bersimpati dengan apa yang berlaku di Malang pada Sabtu dan dengan semangat setiakawan sebagai negara serumpun saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan tragedi itu,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram