SURAU Hidayatul Mustaqim di Selayang Baru, Selangor bakal memberikan hadiah yang lebih lumayan di masa akan datang selepas melancarkan kempen menawarkan basikal kepada remaja yang konsisten ke surau membuahkan hasil.
Pengerusinya, Azizan Md Ali berkata, lebih ramai kariah berjemaah pada waktu subuh selepas surau tersebut melancarkan kempen berkenaan.
"Selain diberikan RM3 secara harian, mereka yang solat subuh berjemaah juga berpeluang membawa pulang dua basikal akan diagihkan setiap dua bulan.
"Insya-ALLAH jika ada lebih kemampuan, program ini akan diperluaskan dengan hadiah yang lebih lumayan," katanya pada Ahad.
Beliau berharap, kempen itu disahut penduduk setempat bagi mengimarah surau khususnya dalam kalangan anak muda.
Tambahnya, program itu perlu dilihat dari aspek positif yang bukan bersifat 'upah' untuk suruh solat sebaliknya motivasi untuk lebih ramai penduduk berjemaah.
"Ia sebagai mendidik anak-anak untuk membiasakan diri berjemaah di surau atau masjid sejak kecil.
"Pada masa sama, ia juga sebagai teguran kepada orang dewasa. Jika anak-anak berjemaah di surau, takkan mak ayah hanya solat di rumah," katanya. — Sinar Harian.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram