SEJAK kebelakangan ini, nama penyerang Petaling Jaya City FC (PJ City FC), Darren Lok dikhabarkan menjadi buruan beberapa kelab setelah menampilkan prestasi terbaik bersama The Phoenix.
Selain Sabah FC, pemain kelahiran Hailsham, England itu dikatakan turut mendapat perhatian pasukan berstatus mega yang beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.
Laman Facebook Football Agent - Malaysia dalam satu hantaran berasakan ada baiknya jika penyerang warisan Harimau Malaya itu kekal bersama PJ City FC untuk beberapa musim mendatang.
Menurutnya, ini kerana kebanyakan kelab lain di Liga Super lebih mempercayai bakat penyerang import.
"Walaupun kelab lain menjanjikan minit permainan, namun itu tidak bermakna (Darren) akan diturunkan sebagai penyerang utama.
"Malah kemungkinan ketua jurulatih kelab berkenaan akan mengubah posisi beliau kepada pemain sayap, tengah menyerang atau penyerang kedua bagi menunaikan janji 'air liur' mengenai minit permainan," tulis posting tersebut.
Berdasarkan transfermarkt.com, Sabah FC yang dikaitkan dengan Darren ketika ini menggunakan khidmat dua tonggak import di posisi serangan iaitu Jose Embalo dan Taiki Kagayama.
Kuda tua berbisa, Amri Yahyah pula bertindak sebagai second striker, Thanabalan Nadarajah (centre-forward) dan Azhad Harraz (centre-forward).
Begitupun kata hantaran tersebut, keputusan untuk berhijrah ke mana-mana kelab yang memberikan tawaran adalah terpulang kepada Darren yang membuat sebarang keputusan mengenai masa depannya.
"Setiap keputusan yang dimuktamadkan bakal memberi kesan untuk Harimau Malaya di Piala Asia 2023 nanti," katanya.
Kontrak pemain berusia 31 tahun itu bersama PJ City difahamkan akan tamat pada 30 November ini dan beliau mempunyai pilihan sama ada terus beraksi bersama The Phoenix ataupun mencuba cabaran lain bersama pasukan baharu musim hadapan.
Darren Lok menjadi penyerang tempatan terbaik dalam saingan Liga Super di mana setakat ini dia sudah mencetak lapan gol menerusi 16 penampilan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram