SUDAH 13 tahun berlalu namun Ketua Jurulatih Urawa Reds, Ricardo Rodríguez tidak dapat melupakan saat dia mengenal pasti bakat pemain sensasi Johor Darul Takzim (JDT), Fernando Forestieri.
"Pertama sekali, Forestieri adalah pemain yang saya bawa masuk semasa menjadi Pengurus Sukan di Malaga (Kelab Sepanyol). Sejak menentang mereka (JDT) pada 2015 ketika saya mengetuai Bangkok Glass FC (Thailand), saya percaya pasukan itu berkembang dengan lebih baik, dan tahap mereka semakin meningkat dengan memperolehi pemain asing berkualiti tinggi.
"Saya juga fikir mereka (JDT) memberikan aksi yang baik di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai. Ia pasti menjadi perlawanan penting, dan mereka adalah pasukan yang bagus dengan pemain berkualiti seperti Natxo Insa dan Jordi Amat,” ujar Ricardo Rodríguez ketika sesi sidang media sebelum perlawanan pada Khamis.
Fernando Forestieri sebelum ini pernah mewakili kelab Sepanyol, Malaga FC dan beberapa kelab Eropah lain dari Sepanyol, Itali dan England sebelum membuat keputusan menyertai JDT.
Dalam saingan peringkat kumpulan ACL, Fernando Forestieri berjaya memainkan peranan penting dan membantu JDT menamatkan saingan peringkat kumpulan I di tangga teratas kumpulan dengan 13 mata mengatasi Kawasaki, Ulsan dan Guangzhou, lapor MakanBola.
JDT bakal bertemu Urawa Reds di Stadium Saitama pada Jumaat, pukul 7.00 malam waktu Malaysia dalam pusingan kalah mati 16 terakhir.
Sekiranya JDT berjaya menewaskan Urawa Reds, JDT bakal mara ke suku akhir ACL 2022 (Zon Timur) yang bakal diadakan pada 22 Ogos ini.
Separuh akhir bakal diadakan pada 25 Ogos dan perlawanan akhir ACL bakal menemukan juara Zon Timur dan Barat pada 19 dan 26 Februari 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram