
PRESTASI penyerang import Sabah FC, Jose Embalo menjadi bualan hangat penyokong Sang Badak gara-gara prestasi yang dipamerkan tidak menunjukkan sebarang peningkatan sejak menyertai pasukan itu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia, Jun lalu.
Kualiti pemain dari Guinea-Bissau itu cukup menghampakan kerana dia tidak menyumbang mata berharga buat Sabah setakat ini untuk menyaingi Johor Darul Takzim (JDT) dalam perebutan takhta Liga Super.
Sabah memerlukan penyerang terbaik jika mahu melangkah lebih jauh atau mencapai prestasi lebih baik, demikian menurut penganalisis Liga Malaysia (Liga M), Rudie Ramli dalam laporan Liga M Ekstra, Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
"Pada saya kita tidak melihat Sabah mempunyai seorang penyerang yang terbaik. Tapi Datuk Ong Kim Swee percaya pemain seperti Amri Yahyah dan Baddrol Bakhtiar. Kalau kita lihat Park Tae-Su pemain pertahanan, tapi dia boleh menjaringkan gol untuk pasukan Sabah.
"Tapi seandainya mereka ingin pergi jauh, saya melihat pasukan Sabah boleh mendapatkan seorang penyerang yang bagus dan saya berasa pasukan Sabah akan jadi lebih baik," katanya.
Seorang penyokong Sabah FC, Nick Queen turut bersetuju dengan pendapat Rudie.
"Saya turut berkongsi menyokong kenyataan penganalisis terhadap Sabah FC ini. Sabah mesti ada penyerang yang lincah dan bertindak sebagai pemusnah.
"Ini supaya pemain lain seperti Amri, Baddrol, Saddil Ramdali dan Taiki Kagayama mempunyai peluang menjaringkan gol.
"Mereka semua pemain yang sangat baik untuk menjaringkan gol, andai ada satu dua pemain import yang lincah dan mampu memusnah lawan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram