Antara Jordi dan Shane, penyokong JDT dalam dilema


  • Podium
  • Jumaat, 12 Ogos 2022

JDT akan kembali beraksi di saingan ACL menentang Urawa Red Diamonds dalam perlawanan pusingan 16 terakhir pada 19 Ogos. — Facebook/JDT

WAKIL tunggal negara, Johor Darul Takzim (JDT) akan kembali beraksi di pentas AFC Champions League (ACL) menentang Urawa Red Diamonds dalam perlawanan pusingan 16 terakhir pada 19 Ogos depan.

Bakal beraksi laman lawan, Stadium Shibuya 2, Tokyo, Jepun mungkin beri kelebihan buat pasukan dari negara matahari terbit itu namun ia bukan penghalang buat JDT berikan persembahan yang terbaik.

Lebih menarik menjelang perlawanan antarabangsa itu, penyokong Harimau Selatan tidak sabar melihat debut pemain import baharu, Jordi Amat yang dijangkakan akan diturunkan pengendali JDT, Hector Bodglio nanti.

Susulan kemunculan Jordi Amat itu, penyokong JDT menjangkakan bakal berlaku perebutan slot import terakhir dalam kesebelasan utama antara Shane Lowry dan pemain berdarah campuran Indonesia-Sepanyol itu.

jordi

Jordi pernah bermain untuk pasukan kebangsaan bawah 19 tahun Sepanyol sebanyak tujuh kali. — Facebook Agensi

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hanya membenarkan seramai empat pemain import untuk beraksi di atas padang, jadi pastinya tiga slot hampir pasti diisi oleh Leandro Velazquez, Bergson da Silva dan Fernando Forestieri.

"Leandro diperlukan di posisi tengah untuk membentuk trio terbaik JDT bersama Natxo Insa dan Afiq Fazail. Bergson dan Forestieri sudah pastinya bakal ditugaskan untuk menjaringkan gol bersama Arif Aiman dalam formasi 4-3-3.

"Jadi Shane dan Jordi dijangka akan bersaing untuk merebut satu lagi slot import untuk berada dalam kesebelasan utama JDT nanti," ujar laman penyokong JDT, Empayar Darul Takzim - EDT.

shanee

Shane Lowry menjadi kunci kepada kejayaan JDT baik Liga Super mahupun kejohanan ACL. — Facebook JDT

Bagi penyokong JDT itu, kedua-dua pemain berkenaan mempunyai kehebatan yang tersendiri terutamanya Shane yang sering menjadi watak utama dalam jentera pertahanan Harimau Selatan.

Manakala, Jordi pula dikenali dengan pengalaman hampir 12 tahun di Eropah seperti bersama Swansea City dan beberapa kelab Sepanyol seperti Rayo Vallecano dan Espanyol.

"Bagi aku biar Shane dulu baru Jordi. Sebab Shane tu memang terbaik setakat ini tidak pernah mengecewakan. Setelah JDT mendahului gol baru masukkan Jordi sebagai pemain gantian di separuh masa kedua nanti. Pendapat aku," kata penyokong JDT, Yatimah Abu Nain.

"Bagi dekat Shane saja lah. Pengalaman luas di Eropah pun belum menjamin keserasian bermain dengan pemain lain. Pemain Jepun ini laju, main pun di Jepun. Pusingan 16 ini, harapnya JDT akan masuk suku akhir," ujar Handd.

"Senang. Rehatkan Shane yang dah berapa perlawanan main tu. Takut penat sangat. Bagi saja Jordi main," kata Muhamad Ridzuan.

Aksi yang dijadualkan berlangsung 19 Ogos itu amat penting buat kedua-dua pasukan kerana JDT sudah pasti mahu melakukan segalanya untuk memenangi aksi ini sementara juara dua kali Asia ini memiliki kemampuan tersendiri untuk meraih kemenangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram