KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) melalui musim yang cukup muram tahun ini. Ketinggalan 21 mata dengan penyandang Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) selain tersingkir dari Piala FA dan Piala AFC, musim Sang Kenari agak sukar.
Skuad kendalian Aidil Shahrin Sahak antara lain dibelenggu masalah tahap kecergasan selepas kemerosotan prestasi KDA FC dikaitkan dengan pemain-pemainnya yang mudah 'pancit.'
Begitupun masalah itu boleh diatasi jika pengurusan kelab mengambil tindakan cepat dan sewajarnya bagi menghadapi saingan musim depan.
Ini termasuk meneliti semula barisan pemain sedia ada melanjutkan kontrak mereka, selain memikirkan kemasukan pemain baharu.
Pengurusan kelab diminta memikirkan perancangan lebih awal untuk musim baru. — Facebook
Pemerhati sukan, Don K-Rul Izham berpendapat terdapat 10 nama yang boleh dikekalkan KDA FC untuk memperkuatkan pasukan itu sebagai antara pencabar utama Liga Super.
Nama yang berpotensi dikekalkan adalah Fayadh Zulkifli, Rodney Celvin, Akmal Zahir, Loqman Hakim, Al-Hafiz Harun, Kamil Akmal, Heshamudin Ahmad, Afeeq Ikmal, Aiman Afif dan Fadzrul Danel.
"Sehingga perjalanan pasukan setakat sekarang, 10 pemain tempatan ini antara yang berpotensi untuk kelab kekalkan atau dalam isyarat mudah, dilanjutkan kontrak. Itupun kalau mereka mahu kekal. Difahamkan hanya Rodney yang memiliki kontrak dua tahun.
"Pilihan atas faktor usia dan pengalaman yang diraih dalam musim ini termasuk ke peringkat separuh akhir Piala AFC zon Asean baru-baru ini," katanya di Facebook.
Fayadh Zulkifli antara pemain tempatan muda yang boleh dikekalkan untuk musim depan. — Facebook
Menurutnya, Kedah masih ada baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini, jadi peluang untuk beberapa pemain lain juga masih terbuka.
Bagaimanapun, katanya, pemain-pemain berkenaan perlu segera mencari prestasi lebih baik lagi atau tingkatkan kualiti.
Dari aspek pemain import, Don K-Rul Izham berpendapat, KDA FC perlu bersedia kerana situasi melibatkan pemain import agak sukar dijangka.
"Dari lima pemain yang ada sekarang, hanya dua daripada pinjaman dan tiga memiliki kontrak dengan kelab.
"Jadi rata-rata kontrak pemain akan berakhir sekitar November tahun ini, mengikut data transfermarkt," katanya.
Kedah tersingkir daripada saingan Piala AFC selepas tewas dengan PSM Makassar. — Facebook
KDA FC katanya, perlu mengambil iktibar daripada musim ini kerana penyokong enggan melihat episod-episod lama berulang lagi.
"Kalau kita biasa buat saat-saat akhir, kita anjak sedikit lebih awal untuk kebaikan kelab juga.
"Pemain yang baik seharusnya dipelihara oleh kelab, salah satu cara menunjukkan kelab ada rancangan untuk menggunakan khidmat mereka musim depan.
"Jadi agak relevan sekiranya kelab sudah mula memikirkan perancangan lebih awal untuk musim baru. Tak dapat usaha 100 peratus pun, mula dulu 50 peratus.
"Sikit sebanyak pemain nampak visi kelab untuk menjadi lebih baik pada masa depan," katanya.
Kontrak import, Ronald Ngah Wanja (kanan) berakhir November tahun ini. — Facebook
Sementara itu, seorang penyokong Kedah, Leron Jannata merasakan Kedah perlu guna cara JDT untuk mencari pemain import.
"Mereka ambil pemain import secara percuma kerana dah jadi free agent. Ataupun Kedah buat buat loan import. Kalau betul bagus, baru tebus kontrak.
"Ni kalau Kedah beli, lepas tu bayar gaji mahal, end up jadi ayam sakit lepas tu kena bagi pampasan lagi. Kedah tak boleh harapkan jurulatih untuk pilih sendiri import, sebaliknya hire seorang assistant bahagian scouting lokal dan import.
"Gaji scouting tak mahal, tak perlu ambik scouting luar negara, ambil lokal yang ada ilmu tentang taktikal dan kontrak pemain. Bayar gaji RM3,000 sebulan dari rugi RM30,000 pampasan pemain import," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram