Papu Gomez resipi TMJ pacu JDT juarai ACL


  • Podium
  • Rabu, 10 Ogos 2022

Tunku Ismail menghadiahkan jersi kepada Papu Gomez ketika pertemuan dengan pemain itu di Sepanyol baru-baru ini. — Instagram

TIADA apa yang lebih mengujakan penyokong Johor Darul Takzim (JDT) selepas pemilik kelab itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) memberi bayangan bahawa pasukannya mungkin membawa masuk salah seorang pemain ternama dari Argentina iaitu Alejandro Papu Gomez.

Berdasarkan kontrak pemain itu bersama Sevilla, ia sebenarnya tidak mustahil untuk melihat Papu Gomez beraksi di Liga Malaysia pada musim 2023 memandangkan kontrak tersebut akan tamat pada 30 Jun 2024.

Lebih mengujakan, kontrak Papu Gomez bersama Sevilla tidak mempunyai klausa pelepasan seperti dilaporkan Football Espana, sekali gus menyaksikan pemain berusia 34 tahun itu boleh menyertai JDT seawal Januari 2023.

FZXpq7HakAAMLvj

Kenyataan Tunku Ismail di laman sosial Twitter mengenai Papu Gomez yang berada dalam radarnya musim depan. — Twitter

Bagi pemerhati sukan, Merah Biru Darahku, perancangan memasukkan pemain import berkualiti tinggi seperti Papu Gomez bukan untuk menambah kekuatan JDT semata-mata.

Dia berpendapat, perancangan itu adalah sebahagian usaha JDT untuk menjuarai Asian Champions League (ACL) bagi tahun ini atau mungkin tahun depan.

"Bagi saya kekuatan JDT dalam peringkat domestik Liga Malaysia tidak disangkal lagi mampu mengekalkan rentak kemenangan dan kejuaraan secara konsisten.

"Jadi tidak syak lagi, JDT sebenarnya sedang merancang menjadi juara ACL. Suatu misi yang sukar tetapi tidak mustahil.

"Mungkin, TMJ boleh saja merendah diri mengatakan setakat melepasi peringkat kumpulan ke-16 terbaik sahaja.

"Namun jika dilihat pada tindakan yang dilakukan TMJ, jangkaan saya memang JDT nak melangkah ke peringkat lebih jauh. Tak mungkin untuk Liga Malaysia semata-mata," katanya di Facebook.

298003552_435282821988376_2260385829369713139_n

Papu Gomez kini beraksi di La Liga bersama kelab Sevilla. — Agensi

Merah Biru Darahku turut berasakan bahawa pentas Liga Malaysia cuma dijadikan 'pemanas badan' atau medan 'latihan' untuk pemain-pemain tersebut bersedia ke ACL setiap tahun.

Jadi katanya, untuk JDT konsisten berada di ACL sudah tentulah skuad Harimau Selatan perlu menjadi juara Liga Super setiap tahun.

"Selain itu, membawa pemain berkualiti dan ternama mampu menaikkan nama JDT dari segi pemasaran jenama JDT itu sendiri.

"Maka ini sedikit sebanyak akan membuka peluang kepada penaja-penaja besar untuk menaja JDT," katanya.

Meskipun Papu Gomez belum menandatangani kontrak bersama kelab elit itu, penyokong-penyokong JDT sudah tidak sabar menantikan arkitek skuad kebangsaan Argentina itu beraksi di atas padang dengan menyarung jersi Harimau Selatan.

Pemain perancang yang pernah dinobatkan pemain tengah tebaik ketika bersama Atalanta dirasakan boleh bermain secara rotation dengan tonggak JDT ketika ini iaitu Leandro Velazquez yang kerap diturunkan ketika ini.

"AM (Attacking midfielder) rotate Leandro dan Levy Madinda," kata Khairul Faizi Omar.

298156624_1650803695289538_6126282466074101150_n

Papu Gomez dianggap sebagai arkitek skuad kebangsaan Argentina. — Agensi

Isu umur Papu Gomez yang mencecah 34 tahun juga tidak merisaukan penyokong kerana pemain berketinggian 1.67 sentimeter itu dirasakan tidak menghadapi masalah kecergasan.

"TMJ ada cakap bola sepak sudah berubah. Pemain-pemain tidak kira umur boleh main lama dan boleh main top level sebab teknologi, nutrisi dan latihan.

"Pemain berumur tiada masalah dengan tahap kecergasan," kata Yassir Arafat.

Untuk rekod, Papu Gomez kini beraksi di La Liga bersama kelab Sevilla dan sudah meledak lapan gol dalam 47 penampilan buat kelab itu.

Kehadiran pemain lincah ini sudah pasti akan menambah kekuatan skuad Harimau Selatan itu apatah lagi mempunyai pengalaman luas pernah beraksi di pentas tertinggi Eropah.

JDT sebelum ini turut menandatangani bekas pertahanan Swansea City di Liga Perdana Inggeris (EPL), Jordi Amat dan kehadiran Gomez pastinya memberi keseimbangan buat juara lapan kali berturut-turut Liga Super itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram