PENYERANG Terengganu FC, Faisal Abdul Halim menyifatkan ia adalah sejarah baharu untuk dirinya secara peribadi apabila menjadi antara tunjang kemaraan pasukan ke pentas final Piala FA menentang Johor Darul Takzim (JDT).
Melihat kepada perlawanan separuh akhir yang begitu mendebarkan sehingga dibawa ke penentuan sepakan penalti, Faisal mengakui ini adalah perjuangan yang harus dibanggakan bersama rakan sepasukan yang berusaha hingga ke minit akhir, lapor MFL.
Apatah lagi, perjalanan Terengganu di Piala FA nyata bukan mudah apabila perlu berdepan Negeri Sembilan FC seawal pusingan pertama sebelum menentang Kedah Darul Aman FC pula di pusingan kedua dan Kuching City FC di suku akhir.
Justeru, kejayaan ini dianggap cukup berharga selepas menewaskan Selangor FC apatah lagi selepas kali terakhir Terengganu layak dan menjuarai Piala FA adalah pada tahun 2011.
Meskipun bakal menentang JDT di pentas final, pemain berusia 24 tahun ini menganggap semua pemain perlu mengambil setiap peluang untuk cuba mencipta sejarah.
“Pada saya, perlawanan kali ini sangat meriah dengan rakan-rakan sepasukan, barisan kejurulatihan, dan penyokong yang sentiasa memberi sokongan terbaik.
“Kami berjuang sampai minit akhir dan Alhamdulillah ini adalah satu sejarah baru untuk diri saya sendiri.
“Kita sendiri dah bersusah-payah untuk sampai ke final, jadi inilah peluang TFC sendiri dan kita perlu ambil peluang ini dengan baik.
“Kita tahu JDT bukan pasukan mudah untuk dikalahkan dan merupakan antara pasukan terkuat di Asia, jadi apa yang saya boleh katakan, kita harus berdoa dan tawakal”, jelasnya.
Aksi separuh akhir yang lalu menyaksikan Terengganu terlebih dahulu dikejutkan dengan gol Selangor menerusi Nor Hakim Hassan pada minit 24.
Namun, Faisal menjadi antara watak penting apabila kemudiannya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit 48 sehinggalah perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti sekali gus memberi kemenangan kepada Terengganu untuk mara ke final. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram