Naikkan pangkat 2 'ubi muda' TRW ke skuad senior


  • Podium
  • Jumaat, 05 Ogos 2022

Skuad TRW Kelantan FC B yang diturunkan menentang pasukan Perlis United FC ketika perlawanan di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada 4 Julai lepas. — Facebook

KELANTAN FC kini berada di landasan tepat untuk memburu kejuaraan Liga Perdana selepas menduduki tangga teratas carta liga.

Selepas mengharungi beberapa perlawanan, dua 'ubi muda' yang bermain untuk skuad Kijang Merah itu mendapat perhatian penyokong lantaran aksi cemerlang yang ditunjukkan.

Pemain tengah, Danial Aiman Azmi misalnya sudah menjaringkan empat gol untuk tiga perlawanan terakhir The Red Warriors (TRW) dalam kejohanan Piala Presiden 2022.

Perkara sama juga dapat dilihat pada Muhammad Alifh Aiman Mohamad Rosman, 23, yang bermain di bahagian serangan. Bekas penyerang Selangor FC II itu juga memahat namanya sebagai salah seorang penjaring gol.

Seorang penyokong Kelantan FC, Abdul Rahmad Samad berasakan Danial Aiman dan Alifh Aiman merupakan pemain skuad TRW Kelantan FC B yang mungkin boleh diasuh dan diberikan minit pemainan sedikit demi sedikit dalam skuad senior.

"Perlawanan yang lepas, Muhaimin Izuddin Muhammad Asri juga mendapat perhatian daripada penyokong TRW. Danial Aiman antara pemain penting dalam pasukan Piala Presiden TRW.

"Apapun TRW tak boleh keciciran mata sebab berada pada landasan baik untuk buru juara Liga Perdana," katanya di The Red Warriors Malaysia: Info Bolasepak TRW Kelantan FC | Malaysia pada Jumaat.

270085671_705433580441913_1887762915207983252_n

Alifh Aiman menyertai Kelantan FC musim ini untuk bermain dalam skuad Piala Presiden 2022. — Facebook

Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya sebelum ini berkata, barisan pemain mudanya telah berjaya membuktikan bahawa mereka sememangnya layak untuk bermain di kesebelasan utama dan mampu membawa kejayaan buat pasukan TRW.

"Sudah tentu tugas saya untuk memberi pendedahan kepada mereka dalam perlawanan kompetitif dan mereka juga berhak mendapat peluang bermain berdasarkan komitmen yang mereka beri.

"Ternyata, setiap pemain yang diturunkan memberi persembahan yang terbaik dan perkara ini juga bagus untuk karier mereka dan baik untuk prestasi semasa kelab," katanya.

Jika peningkatan yang ditunjukkan kedua-dua pemain itu berterusan, mungkin mereka boleh diberi peluang beraksi bersama pasukan senior. Apapun ketika ini khidmatnya lebih diperlukan dalam skuad Piala Presiden 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram