Petikan Ola Bola pengubat duka Damien Lim


  • Podium
  • Isnin, 25 Jul 2022

Penyokong Sabah FC juga tidak menyalahkan Damien atas kekalahan pada aksi suku akhir Piala FA. — Facebook Sabah FC

'BOLA sepak adalah sukan bersama. Kita kalah satu pasukan, kita menang satu pasukan," demikian kata pengurus pasukan Sabah FC, Marzuki Nasir bagi mengulas gambar menangis penjaga gol, Damien Lim.

Kata-kata Marzuki itu adalah petikan dalam filem Ola Bola yang mencerminkan semangat berpasukan dan ia sekali gus dekat dihati pemain dan peminat bola sepak negara.

Tular sekeping gambar penjaga gol kedua Sabah FC, Damien sedang menangis dan dipercayai ia dirakam selepas perlawanan suku akhir Piala FA menentang Selangor FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu.

Enggan meletakkan kesalahan kepada pemain berusia 25 tahun itu, Marzuki berkata, Damien tidak seharusnya meletakkan dirinya sebagai punca kekalahan namun mengambilnya dari sudut positif.

Marzuki juga berkata, tiada seorang pun pemain Sabah FC yang patut dipersalahkan berikutan tewas 0-2 di tangan skuad Gergasi Merah, sekaligus gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

"Tidak ingin salahkan siapa-siapa. Kita main 11 orang, semua pun sama-sama menempuh kekalahan itu.

"Bagi saya permainan itu akan lebih mematangkan dia (Damien). Malah, dia juga berpeluang mendapatkan minit permainan menerusi perlawanan hari itu. Harapnya dia akan gunakan pengalaman perlawanan itu," katanya kepada Majoriti.

damien lim

Antara aksi Damien sewaktu perlawanan Sabah FC menentang Selangor FC di Stadium Likas. — Facebook Sabah FC

Sementara itu, saat ditanya mengenai sama ada khidmat Damien akan digunakan pada perlawanan seterusnya, Marzuki menjelaskan keputusan itu bergantung kepada jurulatih.

"Samada Damien akan diberi peluang bermain ataupun tidak. Semua itu berdasarkan prestasi semasa permainan.

"Ketua jurulatih dan jurulatih penjaga gol yang akan memutuskan perkara itu. Namun Damien perlu sentiasa bersiap sedia apabila dipanggil," tambahnya.

Perlawanan itu menyaksikan Sabah tewas 0-2 di tangan Selangor melalui jaringan Hyuri Henrique pada minit pertama perlawanan dan Herlison Caion pada minit ke-80. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram