Gangguan pihak ketiga, pahala besar menanti Puteri Sarah


  • Mukmin
  • Selasa, 19 Jul 2022

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah kini berusia 3 tahun.

KEBELAKANGAN ini, ada sahaja berita tentang masalah rumah tangga yang berlegar di media sosial sama ada melibatkan individu dikenali ramai seperti selebriti, ahli politik ataupun orang biasa dan antara punca masalah itu ialah kewujudan orang ketiga.

Seperti isu rumah tangga pasangan selebriti terkenal tanah air, Syamsul Yusof dan isterinya, Puteri Sarah Liyana juga terpalit kontroversi kerana kewujudan orang ketiga dalam perkahwinannya.

Terdahulu, Puteri Sarah memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan pegawai agama terhadap seorang wanita dikenali sebagai Ira Kazar yang didakwa mengganggu perkahwinannya.

Tindakan yang diambil oleh Puteri Sarah itu dipersetujui oleh Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed kerana baginya jika orang ketiga dalam rumah tangga menganggu sehingga mengugut adalah lebih baik mendapatkan pengadilan dari undang-undang.

"Kita hidup dalam undang-undang, boleh buat laporan kepada mahkamah. Apa pun yang berlaku jangan bertindak secara bersendirian, kita kena dapatkan pengadilan dari segi undang-undang. Kita kena buktikan semua ugutan itu. Kita ada dua mahkamah sivil dan syariah yang boleh dirujuk," katanya kepada Majoriti.

Berbicara mengenai pihak ketiga dalam rumah tangga, Mohamad Shukri berkata, wanita kategori perosak rumah tangga itu adalah sememangnya berdosa kerana merosakkan 'masjid' orang lain dan tindakannya itu sememangnya tidak disenangi masyarakat.

Menurutnya, jika benar si suami tidak mempunyai hubungan dengan orang ketiga, mereka perlu tampil memberikan penjelasan kerana berdiam diri hanya menimbulkan fitnah.

syamsul

Program Hard To Heart kendalian Aznil Nawawi dan Syamsul tular apabila pelakon itu bertindak mengunci mulut saat diajukan soalan siapa wanita itu (Ira Kazar) terhadap dirinya. — Astro Ria

"Dalam Islam apa-apa sahaja yang boleh menimbulkan fitnah perlu dielakkan. Ambil pengajaran dari kisah Nabi SAW. Pada satu malam, Nabi berjalan dengan isterinya dan tiba-tiba sahabat lalu melintasi mereka tetapi Baginda tidak menegurnya.

"Nabi sanggup mengejar sahabat itu semata-mata mahu memberi bahawa Baginda sedang berjalan dengan isterinya. Semua itu untuk menghapuskan segala fitnah, risau orang buat cerita. Maksudnya, kita tidak boleh menimbulkan sebarang keadaan yang boleh menimbulkan tanda tanya," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad Shukri juga berkata, ALLAH SWT sentiasa memberi ganjaran kepada orang-orang yang dizalimi termasuk isteri yang diganggu oleh pihak ketiga.

"Dalam Islam, sesiapa-sesiapa yang dizalimi doa mereka akan dimakbulkan Tuhan. Orang yang dianiaya, doa mereka akan makbul. Kedua, jika tinggi kesabarannya, pahala mereka akan bertambah banyak," katanya.

Sebelum ini, Puteri Sarah mencerita bahawa selepas hampir empat tahun menangis, menahan dan menderita akibat perbuatan orang ketiga dalam rumah tangganya, dia akhirnya mengambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram