Misi 'revenge' atau eksperimen Kedah-TFC


  • Podium
  • Jumaat, 15 Jul 2022

Mahmoud Al-Mardi mencipta hatrik ketika pertemuan Kedah dengan Visakha FC di Bali, baru-baru ini. — Facebook

PERTEMUAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan Terengganu FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu, pada Jumaat perlu dijadikan medan terbaik buat pemain Hijau Kuning menebus kekecewaan.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu dimalukan Sang Penyu dengan kekalahan 0-1 sekali gus tersingkir daripada saingan Piala FA di stadium sama pada 6 Julai lalu.

Dalam misi mencari kemenangan kali ini, penyokong skuad Sang Kenari merasakan Aidil Sharin tidak boleh bereksperimen dengan pemain, sebaliknya mencari formula sama ketika Kedah mencipta kejayaan membenam kelab dari Kemboja, Visakha FC 5-1 pada saingan peringkat kumpulan Piala AFC di Bali, Indonesia.

Seorang penyokong Kedah, PuteraReza Rahman merasakan kesebelasan utama yang diturunkan ketika menentang Visakha FC pada 30 Jun lalu perlu kembali membuat penampilan dalam aksi menentang Terengganu FC.

293293503_465109465450409_1115810087719142397_n

Ronald Ngah mencetak dua gol bagi membantu Kedah mara ke pusingan kalah mati saingan Piala AFC 2022. — Facebook

Ini termasuk menurunkan Mahmoud Al-Mardi yang mencipta hatrik pada perlawanan itu selain penyerang, Ronald Ngah Wanja.

Dia turut merasakan Kedah tidak boleh menyerap tekanan daripada lawan sepanjang minit permainan dan hanya melakukan pressing pada saat-saat akhir.

"Jangan buat uji kaji lagi, turunkan first eleven yang menang di AFC tempoh hari...dan jangan menyerap tekanan lawan hingga minit ke-80, lepas tu baru nak tekan lawan," katanya di Facebook KDA FC.

Seorang lagi penyokong, Aiman Hamzah berkata, Kedah perlu bangkit mencipta kemenangan kali ini dan menganggap perlawanan menentang Terengganu sebagai satu misi balas dendam bagi mengubati kekecewaan.

"Apabila jatuh bangkitlah semula ...ayuh boleh ni #Revenge," tulisnya.

Kedah berada di tangga keempat carta Liga Super dengan mengutip 14 mata melalui sembilan perlawanan sementara Terengganu di tangga kelima dengan mengumpul 13 mata daripada lapan perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram