"PETANG nikah malam beranak sudah biasa," itu perkongsian seorang pemilik akaun Twitter, @fiqahlee88 berasal dari Kelantan tentang realiti gejala sosial yang berlaku di negeri 'Serambi Mekah' itu.
Dia berkata demikian sebagai respons tentang ciapan @f4izalhassan yang menyenaraikan beberapa kes jenayah yang beraku di Kelantan sejak Mac hingga Mei 2022.
Katanya, sebagai anak Kelantan, lambakan kes jenayah di negeri itu berakar umbi daripada masalah sosial yang teruk terutama di kawasan kampung.
"Masalah dadah berleluasa, nikah petang malam beranak sudah biasa, anak muda ambil pil kuda, ketum, batu itu biasa, sangat kecewa kalau mahu bercerita," katanya pada Khamis.
Ciapan gadis itu turut menapat perhatian warga Twitter yang bersetuju dengan pandangan itu, malah turut berkongsi kisah realiti yang menimpa ahli keluarga yang tinggal di Kelantan.
Seorang pemilik akaun, @yaya_meiyou yang bersetuju dengan pandangan tersebut, mengatakan bahawa masalah sosial sudah bermula di peringkat sekolah.
"Betul sangat, budak-budak sekolah menengah siap buat bisnes jual ketum, dan pil kuda. Ibu bapa buat tidak endah.. kalau lapor polis, ada 'kabel' dengan penjaga mereka," ujarnya.
Sementara itu, @animuscordis juga bersetuju dan mengatakan bahawa dia pernah didatangi oleh rakan sekolah rendah yang datang ke rumahnya untuk meminjam duit membeli dadah.
"Setuju sangat, ada yang nikah untuk tutup perut kemudian esok lusa bercerai, anak sampai dua orang dari lelaki berbeza juga ada.
"Ada sekali pukul 11 malam,m kawan dari sekolah rendah (tidak beberapa rapat) datang ketuk rumah mahu pinjam duit RM20 sebab mahu beli batu (dadah)," ujarnya.
Isu masalah sosial dalam kalangan remaja Kelantan pernah dibangkitkan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.
Beliau dalam laporan media pada Mac lalu berkata, masalah sosial dalam kalangan remaja Kelantan semakin meruncing, dengan 197 orang ditahan polis sepanjang tahun lalu kerana terbabit kes rogol, sumbang mahram dan penyalahgunaan dadah.
Jelasnya, daripada jumlah itu, 100 remaja ditangkap kerana kes rogol dan sumbang mahram yang jumlahnya meningkat 19 peratus berbanding tahun 2020 (84 orang).
Katanya, seramai 97 remaja pula terbabit penyalahgunaan dadah dan pihaknya merampas pelbagai jenis barang larangan terutama pil yaba dan syabu.
"Gejala sosial remaja di Kelantan berada pada tahap serius dan ini dapat dilihat daripada statistik terkini di mana berlaku peningkatan penglibatan golongan ini khususnya, dalam kes-kes rogol dan sumbang mahram," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram