PERLAWANAN Sabah FC menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang menyaksikan keputusan berpihak kepada skuad The Rhinos dengan jaringan 4-2.
Dua gol Sabah FC dijaringkan oleh Baddrol Bakhtiar, dan masing-masing satu oleh Jackson De Souza dan Stuart John Wilkin.
Penang FC pula meraih dua gol menerusi jaringan T Saravanan dan Hilal El-Helwe.
Namun, dalam perlawanan pada Selasa itu, nama Baddrol dan Rizal Ghazali, kedua-duanya bekas pemain Kedah menjadi bualan peminat bola sepak tempatan.
Nama kedua-dua pemain itu menjadi sebutan apabila Kedah Darul Aman (KDA) FC sekadar seri tanpa jaringan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Darul Aman.
Susulan keputusan seri itu, seorang penyokong Hijau Kuning, Mohd Firdaus Abd Aziz meninggalkan komen berbaur sindiran terhadap pasukan utara itu.
"Badd dengan Rizal tanya Kedah apa khabar, bila nak menang?" tulisnya.
Untuk rekod, bekas pasukan kedua-dua pemain itu berada dalam prestasi yang tidak menentu dan masih belum menemui kemenangan selepas empat perlawanan.
KDA FC sebelum ini tewas dalam dua perlawanan menentang Sabah FC dan Melaka United selain seri dengan PJ City.
Pemain Sabah FC menjulang Baddrol Bakhtiar yang berjaya menjaringkan dua gol.
Gol Puskas buat pemain Sabah FC
Selain itu, turut menjadi tumpuan dalam perlawanan Sabah pada Selasa adalah gol jaringan Baddrol pada minit ke 57 yang dianggap cukup cantik oleh peminat bola sepak tempatan.
Baddrol telah melakukan 'overhead kick' untuk gol ketiga Sabah yang mendapat pujian penyokong kelab tersebut.
Seorang penyokong Sabah FC, Dell Adzrul George menganggap jaringan Baddrol boleh dicalonkan sebagai penerima Anugerah Puskas.
Redza Aziz pula berkata, permainan skuad The Rhinos memang menarik dan gol kedua jaringan Baddrol juga cukup cantik.
Bukan sahaja peminat Sabah FC, peminat bola sepak tempatan turut memuji jaringan Baddrol dan bersetuju jika jaringan itu dicalonkan untuk Anugerah Puskas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram