Rekod Kedah kekal, pujian melambung 3 tonggak


KDA FC memperoleh satu mata selepas seri 0-0 dalam aksi Liga Super menentang NSFC di laman sendiri pada Selasa.

PRESTASI Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam dalam perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di laman sendiri ternyata tidak mengecewakan penyokong pasukan yang menonton perlawanan itu pada Selasa.

Meskipun sekadar seri 0-0 dengan skuad pelanduk, rata-rata penyokong berpuas hati dengan persembahan pasukan yang disifatkan semakin baik di atas padang.

Tidak hanya itu, tiga nama bintang KDA FC iaitu penjaga gol, Ifwat Akmal dan dua pemain pertahanan, Muhammad Khairu Azrin Khazali serta Muhamad Kamil Akmal Abd Halim turut menjadi bualan peminat kerana mempamerkan aksi cemerlang sepanjang perlawanan.

Meninggalkan komen menerusi satu hantaran di akuan Kedah Darul Aman FC, salah seorang peminat, Mohd Asri Abu Bakar turut memuji ketiga-tiga pemain tersebut.

Dia turut mengatakan bahawa skuad Sang Kenari juga mempamerkan aksi yang memberangsangkan di atas padang, malah semakin baik berbanding perlawanan sebelum ini.

"Alhamdulillah... tabik kepada semua pemain terutama Ifwat, Acong (Khairu Azrin) dan Muhamad Kamil.

"Betul-betul beri persembahan yang terbaik, walaupun rentak di awal permainan agak kucar kacir, hujung-hujung nampak makin padu," katanya.

komen kda ns 1

Ujarnya lagi, walaupun semua pemain NSFC juga memberikan aksi terbaik, tindakan KDA FC yang turut melawan hingga ke akhir juga perlu dipuji.

"Cuma nasib tidak menyebelahi kita, stamina nampak semua sudah bagus, semoga perlawanan seterusnya dapat ditingkatkan lagi," tambahnya lagi.

Sementara itu, seorang lagi penyokong, Mohd Firdaus pula berharap agar ketiga-tiga pemain berkenaan dapat dikekalkan dalam kesebelasan utama untuk perlawanan KDA FC yang seterusnya.

Jelasnya, ketiga-tiga mereka sangat menyerlah dalam perlawanan dengan NSFC dan komited dalam mempertahankan gawang serta benteng pasukan.

"Ifwat, Acong dan Muhamad Kamil bermain sangat bagus malam ini (Selasa).

"Bagi mereka kekal dalam kesebelasan utama untuk perlawanan akan datang, Muhamad Kamil nampak tenang jaga pertahanan, Ifwat sentiasa bersedia menjaga gawang manakala Acong pula berusaha keras merampas bola dari pihak lawan," komennya.

komen kda ns 2

Tambahnya lagi, meskipun ketiga-tiga pemain tersebut menyerlah dia tidak bermaksud pemain lain tidak bagus di atas padang.

Mohd Firdaus juga berharap agar KDA FC dapat terus memperbaiki mutu permainan dan meningkatkan lagi stamina pemain di atas padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram