Penyelidik UiTM buktikan cucian dobi layan diri boleh sucikan pakaian bernajis


  • Mukmin
  • Ahad, 15 Mei 2022

Pasukan penyelidik diketuai Mohd Hapiz (dua kiri) dapat meneruskan kajian di bawah Jabatan Mufti Pulau Pinang selepas Jakim menarik balik tajaan penyelidikan itu. — Facebook

PASUKAN penyelidik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diketuai Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin berjaya membuktikan kesan najis pada pakaian boleh disucikan menerusi penggunaan mesin basuh dan dobi layan diri.

Perkara itu dikongsikan sendiri Mohd Hapiz yang juga Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Shah Alam melalui satu perkongsian di Facebook pada Sabtu.

Dalam perkongsian itu, Mohd Hapiz berkata, dia bersama pasukan penyelidik dianggotai empat ahli dalam kepakaran masing-masing telah membuktikan kesan najis pada pakaian hilang menggunakan kaedah analisis profil asid deoksiribonukleik (DNA) forensik di makmal Unit Forensik, Jabatan Kimia Negeri Pulau Pinang.

Menurutnya, kajian itu juga berlandaskan fiqh taharah mazhab Syafie dan beberapa pandangan mazhab Hanafi.

"Pasukan kami mengendalikan sampel najis (darah, air kencing dan najis bayi) pada seluar jeans (fabrik tebal), bukan seluar slack nipis biasa bagi memastikan najis itu melekat betul sebelum dibasuh dengan mesin basuh dan dobi layan diri.

"Sampel yang digunakan ialah kotoran paling biasa dihadapi oleh pengguna. Darah yang digunakan ialah darah manusia sebenar yang dimohon daripada pihak hospital dan jabatan kimia sendiri, bagi menggantikan darah haid (sukar diperoleh disebabkan 'malu' dan 'susah' menggunakannya). (Harap anda faham)," katanya.

280770020_5429224563768891_6819740989707586962_n

Penyelidikan dibuat di makmal Unit Forensik, Jabatan Kimia Negeri Pulau Pinang. — Facebook

Mengulas lanjut, Mohd Hapiz berkata, kajian itu dijalankan pada awal tahun 2019 dengan posedur pengendalian sampel dari mula sehingga dihantar ke makmal kimia adalah mengikut nasihat pegawai sains, Haznan Hashim yang banyak membantu pihaknya.

Beliau berkata, selepas basuhan selesai, proses pengeringan dibuat dalam bilik makmal agar tidak terkena cahaya matahari kerana dikhuatiri kesan najis boleh hilang jika dijemur secara terbuka atau bercampur dengan bendasing.

"Untuk makluman semua, panahan cahaya matahari sebenarnya dapat menghilangkan kesan saki baki kotoran. Dalam mazhab Hanafi, perkara ini termasuk 30 lebih instrumen mutahhirat.

"Namun mazhab kita (mazhab Syafie) hanya menerima air mutlak, istihalah (tidak terlalu terbuka), samak dan sertu sahaja sebagai mutahhirat.

"Kajian saintifik bukanlah metod hukum sebaliknya penguat kepada dalil dan hujah bagi membuktikan najis telah hilang atau masih kekal secara lebih meyakinkan," katanya.

280130159_5429224303768917_8678207237863826154_n

Seluar jeans berfabrik tebal digunakan bagi memastikan najis itu melekat betul sebelum dibasuh dengan mesin basuh dan dobi layan diri. — Facebook

Kajian itu sebelum ini dibentangkan di Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) pada tahun 2018 dengan bajet RM49,000 namun ditarik balik atas alasan dikhuatiri hasil dapatan bakal menimbulkan 'huru-hara' kepada pengguna.

Mohd Hapiz berkata, perkara itu sedikit mengecewakan pihaknya, namun Timbalan Mufti Pulau Pinang ketika itu Ustaz Aminudin Mohamad (sekarang Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia) sentiasa positif dengan aspirasi kajian dan meminta pasukan penyelidik meneruskan kajian di bawah Jabatan Mufti Pulau Pinang dengan bajet sederhana.

Dengan sokongan itu, katanya, kajian tersebut berjaya disempurnakan selepas beberapa kali pembentangan di hadapan Ahli Jawatankuasa (AJK) Fatwa negeri dengan pelbagai pertanyaan dan persoalan yang lebih berat berbanding soalan-soalan netizen.

"Pendek kata, apa yang ditanyakan oleh netizen, semuanya telah awal-awal lagi ditanya oleh para ashabul fadhilah. Waktu itu saya belum dilantik sebagai AJK Fatwa lagi.

"Harapan kami, agar ada penyelidik lain yang dapat menguji kenyahkewujudan najis dengan menggunakan metod dan instrumen lain yang lebih terkini bagi meyakinkan para pengguna muslim masa kini. Alam Fiqh sentiasa berkembang, bukan nostalgik dan sentiasa memanfaatkan kecanggihan zaman.

280594677_5429301287094552_6311930843241296319_n

Pasukan penyelidik yang dibarisi pensyarah kanan dalam kepakaran masing-masing iaitu bidang syariah, hadis, sains gunaan dan kimia forensik. — Facebook

"Sebelum forensik audit, kami dah buat forensik kewujudan najis. Mungkin agak keterlaluan jika saya katakan kajian ini adalah yang pertama di dunia moden menggunakan kaedah tersebut.

"Jika ada pihak mendakwa kesan najis tidak hilang, sila bawakan bukti saintifik lebih tepat," katanya.

Selain Mohd Hapiz, pasukan penyelidik itu turut dibarisi empat lagi pensyarah kanan dari UiTM Cawangan Pulau Pinang dalam bidang syariah, hadis, sains gunaan dan kimia forensik.

Mereka ialah Dr Roshaimizam Mizam (Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari), Dr Ainorkhilah Mahmood (Pensyarah Kanan Jabatan Sains Gunaan), Dr Nor Fariza Ismail (Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Kimia) dan Hisyam Mohd Radzi (Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari).

Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari itu diterbitkan Universiti Sultan Zainal Abidin dan boleh dibaca di pautan https://ejournal.um.edu.my/.../JS/article/view/24439/11710.

Rakaman seminar hukum mengenainya juga boleh ditonton di https://fb.watch/c_Qum2bgv2/. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram