SKUAD Sri Pahang FC tidak berdepan masalah untuk layak ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan skuad Projek FAM-MSN 3-0 pada aksi pusingan kedua di Stadium Darul Makmur, Pahang pada Sabtu.
Kemenangan 3-0 ke atas skuad Projek FAM-MSN mengesahkan Sri Pahang FC layak ke suku akhir piala berprestij itu.
Tiga gol daripada skuad Tok Gajah disumbangkan oleh penyerang import, Mahmoud Za'tara pada minit kelima dan minit ke-27 selain Muhammad Sharul Nizam Mohd Nadzir menerusi satu gol, seminit sebelum perlawanan tamat.
Muhammad Sharul Nizam yang masuk sebagai pemain gantian pada minit-minit terakhir membanggakan skuad tuan rumah kerana meletakkan Sri Pahang FC pada kedudukan selesa.
Melihat aksi cemerlang yang dipamerkan tonggak Pahang berusia 25 tahun itu, rata-rata penyokong Hogoh Pahang Hogoh merasakan pemain muda skuad kendalian Christophe Gamel perlu terus diberi minit permainan secukupnya.
Mereka turut memuji Gamel kerana merasakan ketua jurulatih dari Perancis itu telah membuka dan memberi peluang kepada pemain muda untuk tampil beraksi dalam kesebelasan utama berbanding ketika era Dollah Salleh.
Seorang penyokong, Syam Along berpendapat, pemain muda sepatutnya sudah diberi peluang membarisi kesebelasan utama skuad seawal usia 19 tahun lagi seperti yang dilaksanakan Gamel ketika ini.
"Pemain muda baru nak merasa bermain dalam kesebelasan utama tapi umur dah 25...kira taraf senior. Rasanya pembangunan pemain muda Pahang gagal.
"Umur 19 ke 22 dah boleh main kesebelasan utama pasukan, itu pun sebab Gamel je, jika Dollah Salleh rasanya umur 30 tahun baru boleh main," katanya di ruangan komen Facebook Sri Pahang FC.
Tangkap layar komen penyokong terhadap aksi Sri Pahang FC menentang Projek FAM-MSN. — Facebook
KhairilHasni Alan membalas komen itu dengan bersetuju terhadap pendapat bahawa jika Gamel 'pegang' Sri Pahang FC lebih awal, skuad itu pastinya sudah melahirkan ramai pemain muda berbakat.
"Betul tu...kalau Gamel lama pegang coach Sri Pahang FC, rasanya ramai pemain muda mudi naik pangkat. Sekarang ni dah agak lewat bawa pemain muda masuk team utama.
"Kat Pahang, umur 25 dianggap pemain muda lagi, Gamel nampak banyak guna pemain muda...tapi kadang-kadang dia masukkan player muda tak kena dengan game, contohnya masa tengah lawan Petaling Jaya City FC tempoh hari," kata Hasanul Afifi.
Skuad Tok Gajah dijadual bertemu Johor Darul Takzim (JDT) dalam pusingan suku akhir pada 18 Mei depan. JDT terdahulu menewaskan Sarawak United pada aksi pusingan kedua kalah mati saingan Piala FA dengan keputusan 3-0. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram