Kim Swee pertaruh 'senjata rahsia' jumpa KUFC


  • Podium
  • Jumaat, 13 Mei 2022

Kim Swee tidak akan menganggap perlawanan menentang KUFC sebagai lawan yang mudah. — Facebook Sabah FC

SENJATA rahsia dipertaruhkan Datuk Ong Kim Swee selepas dua orang pemain dalam bahagian serangan Sabah FC tidak dapat diturunkan dalam perlawanan menentang Kelantan United (KUFC) dalam saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat.

Pemain penyerang yang dimaksudkan ialah pemain import, Neto Pessoa masih yang belum pulih sepenuhnya dari kecederaan sebelum ini dan Saddil Ramdani turut dilaporkan tidak dapat bersama skuad Sang Badak kerana menyertai pasukan bola sepak Indonesia dalam kejohanan Sukan SEA di Hanoi, Vienam.

Susulan itu, selepas hatrik yang diberikan pemain bepengalaman, Mohd Amri Yahyah, pengendali Sabah FC, Kim Swee memberikan kepercayaan dengan menjadikan beliau sebagai taruhan utama bagi menggalas tugas penting bersama dengan pemain lain dalam perlawanan malam ini.

amri

Amri Yahyah (tengah) melakar hatrik pada perlawanan menentang Kedah Darul Aman pada April lalu. — Facebook Sabah FC

"Namun begitu kesebelasan utama hanya akan ditentukan sebelum sepak mula malam esok (malam ini), jangan risau kita mempunyai banyak pilihan pemain.

"Kita harus memikirkan beberapa faktor serta tujuan untuk kita bermain bagi memastikan Sabah FC dapat melangkah ke peringkat seterusnya," katanya dalam satu kenyataan pasa Khamis.

Malah, menurut Kim Swee, tahap kecergasan pemain Sang Badak kini berasa pada tahap cemerlang dan semestinya akan memberikan fokus kepada perlawanan penting itu bagi membantu pasukan memperolehi keputusan yang baik.

Meskipun, KUFC pasukan dari Liga Premier, namun Kim Swee tidak akan menganggap ia sebagai perlawanan yang enteng.

"Apabila pasukan Liga Premier menentang Sabah Fc mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mempamerkan mutu persembahan terbaik sekali gus ingin membuktikan mereka juga boleh bersaing dengan kelab-kelab Liga Super di negara ini.

"Kita tidak mahu pemain Sabah FC mengambil mudah perlawanan malam esok (malam ini). Semua pemain perlu menunjukkan kesungguhan lebih-lebih lagi apabila bermain di gelanggang serta di hadapan penyokong sendiri," ujarnya.

Dalam pada itu, Kim Swee mengajak penyokong Sang Badak untuk turun beramai-ramai ke Stadium Likas pada Jumaat bagi memberikan sokongan kepada pasukan Sabah FC.

Sabah FC yang akan menerima kunjungan KFC itu merupakan perlawanan siri kalah mati iaitu akan menentukan sama ada Sang Badak dapat melangkah ke perlawanan seterusnya atau tidak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram