Bayi 6 bulan maut, ibu parah ditetak datuk saudara


  • 112
  • Rabu, 11 Mei 2022

Polis menerima maklumat mengenai kejadian tetakan pada petang Selasa. — Facebook

SEORANG bayi perempuan berusia enam bulan maut ditetak oleh datuk saudara manakala ibunya yang berusia 35 tahun cedera parah di Kinabatangan, Sabah.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, polis dimaklumkan mengenai kejadian mengerikan itu berlaku di sebuah rumah di Kampung Ubi Sungai Pauh selepas menerima maklumat pada pukul 2.40 petang Selasa.

Pasukan yang tiba di tempat kejadian mendapati bayi itu telah meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepalanya.

"Ibunya mengalami kecederaan serius di bahagian belakang tengkuk dan telinga kirinya hampir putus akibat tetakan.

"Polis berjaya mengesan suspek berusia 60 tahun itu yang merupakan warga asing di ladang kelapa sawit berhampiran," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

"Polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan suspek dalam serangan itu.

"Suspek direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan," tambahnya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Dzulbaharin menggesa orang ramai yang mengenali Ismail Santara dan Ana Farhana Musa supaya memaklumkan bahawa mereka adalah saksi penting untuk perbicaraan kes pembunuhan di Mahkamah Tinggi Sandakan.

Pihak polis mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai yang mengetahui keberadaan kedua-dua saksi itu.

Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah Kinabatangan di talian 089-561 890 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kinabatangan, Asisten Superintendan Razali Basa di talian 019-621 7357.The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram