Apa sudah jadi dengan Data Sukan KDA FC, kerjasama KXG Sports Analytics?


  • Podium
  • Selasa, 10 Mei 2022

Skuad Hijau Kuning kini di kedudukan keempat dalam carta Liga Super, berkongsi 12 mata dengan Sabah FC yang berada di tangga ketiga.

DARI isu taktikal hingga ke prestasi pemain, semua perkara dipersoalkan oleh penyokong pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas selepas tewas dalam dua perlawanan terakhir menentang Melaka United FC (2-3) dan Sabah FC (0-4).

Siapa tidak bersedih apabila pasukan kesayangan mereka dilihat kurang menyerlah dalam aksi Liga Super 2022, seolah-olah KDA FC tidak pernah belajar sesuatu untuk menambahbaik selepas dibelasah dengan teruk.

Sehubungan itu, seorang peminat Kedah, Hafiz Shukri mempersoalkan peranan bahagian Data Sukan KDA FC yang mana pada awal tahun ini bekerjasama dengan KXG Sports Analytics untuk menyokong usaha pasukan itu mempertingkatkan kualiti data sains sukan dan proses pemulihan yang lebih saintifik.

kxg

Pada awal tahun ini KDA FC mengumumkan kerjasama dengan KXG Sports Analytics sebagai Rakan Rasmi Hub Prestasi Sukan dan Perubatan KDA FC musim 2022.

Menurutnya, adalah sia-sia jika kerjasama sebegitu tidak dimanfaatkan sebaiknya oleh pasukan KDA FC kerana dari data berkenaanlah skuad Hijau Kuning boleh mengetahui lompong-lompong yang perlu diperbaiki.

"Ada kemudahan tapi tak reti guna, payah ceritalah. Bukankah Kedah ada penaja atau partnership dengan Data Sukan dan KXG Sports Analytics? Sayang kalau tidak reti manfaatkan..analisis kelemahan pasukan, analisis taktikal lawan..sampai bila nak main taraf kampung..tak begitu?

"Kalau dah guna dah boleh interpret data dan statistik dah kenal pasti masalah, perbaiki persembahan bukannya 2-3 perlawanan masih lagi berlaku masalah yang sama.. menang ball possession tapi kalah ditambah jumlah bolos tinggi (14) itu pun dah menampakkan masalah.

"Kalau sekadar data dan statistik atas kertas dan skrin tapi tidak interpret, tidak tafsir, tidak guna juga. Point dia, sudah kerjasama dengan dua syarikat berkaitan data sukan ini tapi tidak manfaatkan sebaiknya, rugi saja," ujarnya dalam komen di ruangan Facebook.

Bagi pemilik akaun, Avril Mitragyna Speciosa, kemudahan yang ada itu sepatutnya digunakan oleh Sang Kenari untuk menganalisis pasukan sendiri dan kemudiannya melihat analisis pihak lawan.

KDA FC akan bertembung Petaling Jaya (PJ) City FC dalam aksi Liga Super pada Selasa dan untuk rekod PJ City kini menduduki tangga ketujuh carta dengan mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan tiga tewas.

Manakala, skuad Hijau Kuning kini di kedudukan keempat dalam carta Liga Super, berkongsi 12 mata dengan Sabah FC yang berada di tangga ketiga tetapi dipisahkan beza jaringan gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram