MENJADI kelaziman buat kebanyakan kita untuk menggunakan minggu pertama Aidilfitri untuk menziarah ke rumah sanak saudara.
Namun berbeza pula bagi penyanyi, Sufian Suhaimi yang mengambil kesempatan berkunjung ke rumah sanak saudara tiga hari sebelum hari raya.
"Tahun ini agak berbeza sebab kami pertama kali lakukan ziarah Aidilfitri ketika penghujung bulan Ramadan.
"Memang kita dah rancang perkara itu sejak awal Ramadan lagi. Saya dan keluarga akan balik ke Mersing untuk menziarah sanak saudara di sana," katanya kepada Majoriti.
Menurut Sufian, perancangan itu dibuat kerana mahu menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna apatah lagi selepas neneknya meninggal dunia.
Malah, katanya, ini juga adalah raya pertama mereka sekeluarga tanpa nenek yang meninggal dunia pada 2019.
"Memang terasa sangat bila kehilangan nenek dan itu sebabnya kita rancang untuk ziarah awal supaya Aidilfitri pertama nanti kita dapat luangkan masa khusus bersama keluarga," katanya yang akan beraya di Muar, Johor.
Dalam pada itu, Sufian berkata, sambutan raya tahun ini juga diraikan secara sederhana sahaja.
"Kalau perbelanjaan macam duit raya semua itu memang saya dah asingkan siap-siap semasa bulan Ramadan sebab saya bagi duit raya terus ketika menziarah.
"Jadi untuk Aidilfitri bajet itu lebih kepada duit raya untuk diberikan kepada kanak-kanak jiran yang datang beraya ke rumah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram