PEMBERIAN tol percuma dan diskaun melibatkan 30 lebuh raya di seluruh negara, bermula Sabtu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pengguna jalan raya yang merancang untuk pulang ke kampung pada tarikh yang dinyatakan.
Bagaimanapun, ada yang berpendapat bahawa tol percuma dan diskaun sepatutnya diberikan buat sepanjang musim cuti perayaan dan bukan pada tarikh tertentu supaya dapat memberi manfaat kepada majoriti penduduk.
Malah, pengguna lebuh raya juga boleh merancang perjalanan dengan bijak daripada menumpukan untuk balik pada tarikh tol percuma dan diskaun yang mana akhirnya menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Peguam dan aktivis, Syahredzan Johan menerusi ciapan di Twitter berkongsi pendapat bahawa kerajaan sepatutnya memberikan tol percuma dan diskaun untuk 30 April sehingga 3 Mei 2022.
Jelasnya, menerusi tempoh itu, kebanyakan orang akan mendapat manfaat dan membantu mengurangkan kesesakan di lebuh raya.
"Saya fikir, daripada memberi pengecualian tol, diskaun pada 30 April, 1, 7 dan 8 Mei 2022, mereka (kerajaan) sepatutnya memberi untuk 30 April sehingga 3 Mei 2022.
'Ramai yang akan pulang pada malam raya dan hari raya itu sendiri akan melihat orang ramai menggunakan lebuh raya. Ketika itulah kebanyakan orang akan mendapat manfaat," katanya.
Selain, Syahredzan pengguna laman sosial juga menyuarakan pandapat serupa tentang perkara berkenaan.
Pemilik akaun Facebook, Janz Shahrizan pula menulis, pemberian tol percuma dan diskaun mengikut tarikh tertentu hanya mengundang jalan raya sesak yang juga menjadi punca kemalangan.
"Beberapa hari sahaja ke? Pastilah semua berebut mahu balik pada masa dan hari yang sama sebab mahu tol percuma, jimat perbelanjaan.
"Sepatutnya lanjutkan seminggu supaya orang tidak berebut dan ikut giliran, jalan juga tidak sesak serta kurang kemalangan," ujarnya.
Sementara itu pemilik akaun Amirul Zizi Uda Noor pula memberi cadangan supaya kerajaan juga memberi tol percuma dan diskaun pada hari orang tidak bekerja.
"Mesti sesak teruk, polisi apa ini., baik bagi diskaun tol untuk hari yang dijangka tidak sesak seperti Jumaat dan Isnin supaya tidak jem teruk pada Sabtu dan Ahad," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram