Kecoh Mi Tonggek berulat? Ini sebab makanan siap masak tarik minat lalat bertelur


  • Sihat
  • Ahad, 17 Apr 2022

Lalat perumah tertarik pada makanan baru siap dimasak kerana haba panas itu sesuai untuk menetaskan telur. — Facebook

KECOH di media sosial tentang juadah makanan tercemar yang dibeli pengguna di beberapa bazar Ramadan seperti yang tular sejak akhir-akhir ini.

Ada kuih yang dicemari gumpalan rambut, ayam bakar mentah, kuih berlendir dan macam-macam lagi bentuk pencemaran lain.

Paling 'hauk' ialah hidangan mi tonggek bersama sotong berulat yang tular di media sosial hingga gerai di bazar Ramadan Putrajaya itu dikenakan notis penutupan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain mi goreng sotong berulat, ada kes-kes makanan berulat lain yang turut tular antaranya ikan goreng dan nasi kerabu berlauk daging.

Bagaimana juadah tersebut boleh berulat walaupun didakwa baru dimasak atau digoreng?

Seorang pengguna Facebook, Abdul Muin berkongsi mengenai cara lalat perumah atau nama saintifiknya Musca domestica mencemari makanan baru dimasak.

nasi kerabu ulat

Daging nasi kerabu berulat yang tular di media sosial baru-baru ini.

Katanya, jika dilihat video mi tonggek sotong, saiz larva masih kecil berkemungkinan baru menetas setelah lalat bertelur dalam tempoh kira-kira 30 selepas juadah siap dimasak.

"Lalat itu mungkin mencemari makanan beberapa jam sebelum. Mungkin 30 minit setelah dimasak, di mana suhu makanan menarik perhatian lalat.

"Ia boleh keluarkan telur dalam beberapa saat. Telur itu boleh menetas menjadi larva (ulat) dalam beberapa jam jika kena dengan suhu sekeliling iaitu kira-kira 40 darjah Celsius," katanya di Facebook.

Katanya, lalat perumah suka hinggap di tempat berbau dan berhaba panas seperti bangkai haiwan untuk bertelur.

"Serangga ini suka suhu suam sebab bangkai pun keluarkan haba hasil proses penguraian bakteria. Bangkai akan menyediakan makanan yang banyak untuk larva lalat yang bakal menetas.

"Bangkai juga keluarkan bau. Lalat tak boleh bezakan antara bau busuk atau sedap. Sebab tu apabila ada makanan berbau seperti petai, budu dan belacan, lalat pun sampai (hinggap)," jelasnya.

photo1650110324

Lauk ikan goreng berulat yang tular di media sosial baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abdul Muin berkata, larva lalat biasanya tidak akan menyerang tisu hidup haiwan kecuali beberapa spesis lalat seperti Botfly yang menanam telur dalam kulit hos mamalia.

"Namun larva lalat boleh menyebabkan serangan Myiasis (jangkitan larva lalat pada tisu manusia). Tisu nekrosis pada haiwan hidup akan menarik perhatian lalat untuk bertelur dan larva menetas dan makan tisu tersebut.

"Ini akan menyebabkan komplikasi lebih teruk akibat respons sistem imun dan sisa toksik hasil kumuh larva tersebut.

'Walaupun situasi Myiasis ini jarang berlaku. Lalat sangat terkenal sebagai vektor jangkitan Tifoid (demam kepialu), kolera (taun), jangkitan Shigella dan E.coli.

"Lalat yang hinggap pada bangkai haiwan, persekitaran kotor serta najis akan memindahkan bakteria patogenik ke atas makanan yang dihinggapinya," katanya.

Mengikut saranan KKM, Abdul Muin berkata, pengguna diunjurkan untuk memilih premis makanan yang bersih dan menutup hidangan makanan mereka daripada terdedah secara terbuka.

"Malah bagi orang Islam, Nabi Muhammad mengajar kita untuk menutup bekas makanan untuk mengelak daripada wabak dan gunalah walaupun batang lidi letak atas bekas makanan sebab nak suruh kita ini tutup bekas makanan," katanya.

Katanya lagi, persoalan sekarang adalah bukan pasal makanan baru masak atau tidak tetapi sepantas lalat boleh hinggap dan bertelur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram