Harga tiket membebankan, Sabah minta MOT campur tangan


  • Primer
  • Rabu, 13 Apr 2022

Kenaikan harga tambang bagi penerbangan Kuala Lumpur ke Sabah untuk sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri mengundang kebimbangan orang ramai.

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) digesa mengkaji harga tambang tiket penerbangan yang melonjak menjelang perayaan bagi penerbangan domestik terutama Sabah dan Sarawak.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kadar tambang itu membebankan penumpang yang mahu ke Kuala Lumpur atau ke Sabah.

"Sama ada untuk tujuan bekerja atau melancong, tambang penerbangan yang tinggi memberi cabaran kepada individu dan keluarga.

"Ia juga tidak sesuai dengan aspirasi untuk membawa lebih ramai pengunjung ke Sabah ketika sempadan negara telah dibuka pada 1 April lalu," katanya selepas membincangkan isu itu dalam mesyuarat kabinet pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan kebimbangan penumpang mengenai kenaikan harga tambang bagi penerbangan Kuala Lumpur ke Sabah untuk sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri.

"Kami menggesa Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Wee Ka Siong) melihat perkara ini dengan segera dan mengurangkan harga yang dilaporkan telah melonjak kepada sekitar 566 peratus berbanding bagi tempoh bukan perayaan pada laluan yang sama.

"Harga tiket yang mahal menyebabkan ramai rakyat Sabah sama ada belajar atau bekerja di Semenanjung tidak dapat pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga kerana mereka tidak mampu.

"Ia membebankan rakyat dan kami berpendapat pihak berkuasa berkaitan perlu bertindak," ujarnya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram