Rakyat tempatan lebih rela jadi rider, tolak kerja 3D — Saravanan


  • Primer
  • Rabu, 13 Apr 2022

Pekerjaan sebagai penghantar makanan memberi pulangan yang lebih tinggi.

WARGA tempatan lebih suka menjadi penghantar makanan dan memperoleh pendapatan lebih tinggi daripada menyertai industri tertentu di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata, di sebalik usaha terbaik kerajaan untuk mengutamakan rakyat tempatan bagi memenuhi kekurangan dalam industri ini, tidak ada yang berminat dengan pekerjaan 3D (kotor, berbahaya dan sukar).

“Anda perlu faham bahawa senario dan industri telah berubah. Mengapa seseorang mahu bekerja dalam sektor perladangan sedangkan mereka boleh menjadi penghantar makanan Grab?

“Oleh sebab itulah kita harus bergerak ke depan dalam membawa masuk pekerja dan melancarkan kaedah automasi. Ia bukan lagi pasaran majikan,” katanya ketika ditanya mengenai langkah mengurangkan jumlah pekerja asing ke negara ini.

Semasa sidang media pada Rabu, Saravanan mengumumkan bahawa seramai 24,560 pekerja asing dijangka melengkapkan temu duga mereka menjelang 27 April ini.

Saravanan mendedahkan bahawa sebelum wabak Covid-19, terdapat 1.7 juta pekerja asing di negara ini dan kini tinggal 1.17 juta lagi. Berdasarkan jumlah permohonan baharu, beliau menyatakan ia hampir sama dengan bilangan kekosongan yang ditinggalkan.

“Pemain industri kecewa apabila kami tidak membenarkan pekerja asing masuk dan ia adalah tidak adil kepada mereka kerana mereka terus mengalami kerugian. Industri perladangan sahaja mengalami kerugian RM20 bilion, tetapi kini kita bergerak ke depan.

“Sejak dua tahun lalu, tiada pekerja asing masuk dan, sebelum ini, ada pegawai atasan yang boleh meluluskan permohonan ini dan menyelia perkara sebegitu. Itu tidak lagi berlaku kerana semuanya dilakukan secara dalam talian,” tambah Saravanan. Beliau berkata semua permohonan itu turut dikongsi dalam kalangan jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri telah membekukan pengambilan pekerja asing dalam sektor seperti tekstil, kedai gunting rambut, besi buruk dan kedai tukang emas, tetapi sekiranya terdapat keperluan yang amat mendesak untuk mengisi kekosongan dalam sektor tersebut, perkara itu akan dibawa untuk perbincangan lanjut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram