
TIDAK wajar boikot MR D.I.Y atas kesalahan seorang individu, itu pandangan seorang pengguna Facebook, Dr.M.Karthigeyen berhubung isu rasis yang mengaitkan peruncit perkakasan rumah itu.
Beliau berkata demikian susulan satu rakaman video oleh pemilik akaun TikTok, @artprochefpro yang meminta semua kaum India memboikot MR D.I.Y dengan tidak membeli barang di kedai itu
Kata Dr.M.Karthigeyen, tidak wajar rakyat memboikot kedai itu kerana arahan tersebut bukan datang daripada pihak atasan MR D.I.Y Malaysia sebaliknya pengurus itu sendiri.
"Saya bagi contoh, dalam satu keluarga ada empat adik beradik dan hanya seorang sahaja terlibat dalam kesalahan mencuri tanpa pengetahuan yang lain, adakah wajar kesemuanya dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan seorang individu?"
Tambahnya lagi, dia juga tidak bersetuju dengan persoalan yang diajukan @artprochefpro kepada pemilik rangkaian kedai MR D.I.Y.
@artprochefpro dalam videonya mengajukan soalan kepada 'bos' bahawa jika MR D.I.Y mengambil pekerja yang pilih bangsa (rasis), bagaimana syarikat itu boleh menjalankan perniagaan.
Mengulas persoalan itu, Dr.M.Karthigeyen berkata mana-mana syarikat tidak tahu perangai sebenar seseorang staf sehinggalah mereka bekerja.
"Sebagai contoh, semasa temu duga untuk pengambilan pengurus syarikat, jika saya tahu mereka ini pencuri, malas, rasis dan sebagainya, adakah saya akan mengambil mereka?.
"Sudah pasti jawapannya tidak, tiada siapa yang akan tahu tindakan mereka sehingga mereka ini mula bekerja," ujar Dr.M.Karthigeyen.
Terdahulu, seorang pengguna TikTok @itsbrownbarbie mendakwa seorang kakitangan MR D.I.Y mendiskriminasi kaum India.
Katanya, insiden itu berlaku ketika adiknya mencari pekerjaan di cawangan kedai terbabit.
“Saya dan adik saya ke kedai itu dan segera diberitahu bahawa pengurus MR D.I.Y tidak mahu mengambil orang India,” katanya dalam video tular itu.
Susulan itu, @artprochefpro pula menyuarakan pendapat tentang kejadian itu menerusi satu ucapan ringkas di TikTok. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram