Harga makanan bazar Ramadan naik, betul ke peniaga cuba balas dendam?


RAMAI yang berkunjung ke bazar Ramadan pada kali ini selepas kerajaan mengumumkan fasa peralihan endemik. — The Star

SEJAK bermulanya bazar Ramadan semalam, media sosial penuh dengan koleksi juadah dan lokasi bazar yang sesuai dijadikan lokasi untuk berbuka puasa.

Malah, keputusan kerajaan untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada fasa peralihan endemik nampaknya dapat membantu peniaga dengan kehadiran ramai pengunjung.

Namun, di sebalik kelonggaran dan kemeriahan pengunjung berbelanja, ada yang menyatakan bahawa harga makanan di bazar Ramadan meningkat mendadak berbanding sebelum ini.

Seorang pengguna Facebook menggunakan nama Mohd Faizullizam Zamani berkata, harga martabak yang pada tahun sebelumnya dijual dengan harga RM4-RM5 kini dijual dengan harga RM7-RM8.

"Yang saya pelik, dalam beberapa gerai yang jual martabak. Ada pula yang masih jual pada harga RM5 untuk martabak daging. Macam biasalah, gerai ni tutup awal sebab paling awal habis.

"Air bungkusan pun sama. Walaupun harga lebih kurang tapi bungkusannya dah jadi makin kecil. Mahal sangat ke air sekarang ek? Ke bil air naik gila-gila? Pelik juga sebab saya tak terasa kenaikan tarif air. Setahu saya airlah yang mempunyai margin tinggi.

"Ini bukan sekadar air yang special itu. Air yang cuma pakai kordial pun dah makin mahal. Nak kata pakai air Elken atau air Cuckoo, memang taklah. Air paip juga yang dicurah masuk ke dalam balang. Mesti dah masaklah air itu," katanya.

Menurut Mohd Faizullizam, jika terus dipersoalkan perkara tersebut, pasti peniaga akan marah dan menyalahkan kenaikan harga barang sebagai punca.

Tetapi katanya, peniaga menaikkan harga seperti ingin mengaut keuntungan yang lebih banyak dan menggunakan kenaikan harga barang sebagai alasan.

"Lebih pelik bila ada juga peniaga yang boleh jual murah. Walaupun ada yang jual tinggi sikit daripada harga tahun lepas tapi tak adalah beza sampai RM2 hingga RM3. Kalau beza 50 sen ke RM1 ok lagi lah.

"Ni naikkan harga macam nak balas dendam sebab tahun sebelumnya tak boleh nak berniaga sangat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram