Pensyarah tegur Iqram Dinzly, minta keluarga pantau akaun media sosial


  • Massa
  • Isnin, 04 Apr 2022

RAFIDAH (kanan) meminta ahli keluarga yang memahami supaya mentadbir akaun media sosial mana-mana pesakit mental secara bersama.

PENSYARAH Fakulti Perubatan dan Kesihatan Sains, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar mengesyorkan individu dengan masalah kesihatan mental, supaya menggunakan akaun media sosial yang ditadbir bersama ahli keluarga.

"Saya syorkan akaun media sosial mereka ditadbir bersama oleh admin dari keluarga yang memahami," katanya dalam satu kenyataan ringkas di Facebook pada Isnin.

Rafidah berkata demikian sebagai mengulas laporan berita mengenai seorang aktor lelaki, Iqram Dinzly yang mencetuskan kontroversi selepas mengenakan pakaian tidur wanita seksi berlatarkan alunan selawat menerusi satu rakaman di aplikasi TikTok @iqramdinzlycious.

Iqram dipetik berkata, karakter tersebut bukan dirinya, sebaliknya adalah watak dikenali sebagai Princess Iqy Dinzly dan tujuannya membuat video TikTok terbabit adalah untuk menyentuh hati netizen agar membuat pilihan sama ada mahu berselawat atau menyaksikan perkara maksiat.

Mengulas lanjut, Rafidah memberikan contoh insiden yang mana salah seorang sahabatnya mempunyai adik yang menghidap kecelaruan bipolar.

"Satu hari adik beliau membuat posting di Facebook mengatakan dia murtad. Sudah tentu kecoh dan tular, di samping keluarga menjadi kecaman.

"Sewaktu adiknya normal, dia sendiri berasa sedih dengan apa yang dibacanya. Dia tak sedar pun apa yang dimuat naik ke media sosial.

"Jika keluarga terlibat sebagai admin bersama, jika nampak hantaran pelik, bolehlah dipadam," katanya.

Ini bukan kali pertama Iqram menerima kecaman netizen kerana dianggap mempersendakan agama.

Sebelum ini, Iqram pernah mencetuskan kontroversi pada 2019 selepas berkelakuan pelik di media sosial antaranya dengan tampil berserban hingga menarik perhatian Ketua Unit Kaunseling, Univsersiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Saad yang menyatakan bahawa pelakon itu perlu menjalani kesihatan mental.

Dr Fauziah mendakwa tekanan alami Iqram mungkin disebabkan oleh kematian bapanya, namun disangkal sendiri pelakon itu dan mendakwa depresi berpunca daripada netizen. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram