ANAK perempuan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Noryana Najwa Najib mengesahkan dia pernah cuba meminta pekerjaan di Goldman Sachs.
Menurut Noryana Najwa, dia pernah bertemu dengan dua bekas pekerja Goldman Sachs, Roger Ng dan Tim Leissner sebagai sebahagian daripada usaha rangkaiannya untuk mendapatkan 'pekerjaan yang kompetitif'.
"Bagaimanapun, saya diberitahu ia akan menjadi konflik kepentingan kerana bank pelaburan berkenaan menjalankan perniagaan dengan kerajaan Malaysia.
"Saya berminat dengan Goldman Sachs kerana mahukan peranan yang melibatkan kewangan dan kerajaan sejak saya belajar politik antarabangsa dan politik asing di universiti," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Berikutan itu, Nooryana Najwa mendedahkan Leissner memperkenalkannya kepada sebuah firma ekuiti persendirian, TPG.
"Saya menghadiri temuduga untuk jawatan pelatih di pejabat TPG di London, yang bermaksud saya berada di bahagian bawah rantaian makanan, di mana selain skop kerja teras anda, anda juga bertanggungjawab ke atas pelbagai tugasan harian.
"Anda adalah gadis PowerPoint, gadis fotostat, gadis kopi dan gadis penghantar," ujarnya.
Tambah Nooryana Najwa, dia bekerja selama 11 bulan untuk fokus kepada perniagaan sendiri dan melanjutkan pelajaran.
Leissner pada 22 Februari lalu memberitahu Mahkamah Daerah Timur New York tentang beliau dimaklumkan oleh Jho Low bahawa Najib mahu tiga anaknya diberikan pekerjaan di Goldman Sachs.
Jelasnya, dia menerima resume Nooryana Najwa dan kemudian membantunya mendapatkan pekerjaan di TPG.
Namun, Najib menjelaskan pada Rabu bahawa tiada seorang pun anaknya ditawarkan pekerjaan oleh Goldman Sachs.
Leissner adalah saksi utama dalam perbicaraan ke atas rakan sekerjanya, Roger Ng yang dituduh melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang berhubung dengan urusan 1MDB. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram