SPRM siasat Zeti, Nor Mohamed isu 1MDB


  • 112
  • Ahad, 23 Jan 2022

ZETI (kiri), dan Nor Mohamed kini dilaporkan disiasat SPRM berhubung kaitan dengan 1MDB. — The Star

BEKAS Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung kaitan dengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Berdasarkan laporan Mingguan Malaysia yang memetik sumber pada Ahad berkata, pihak polis juga sedang menyiasat suami Zeti, Datuk Tawfiq Ayman berhubung dakwaan beliau ada menerima dana berkaitan 1MDB.

"Kes itu telah selesai dengan cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dalam masa terdekat," kata sumber itu.

Sumber itu menambah, siasatan agensi itu lebih tertumpu kepada penerimaan wang ke dalam akaun Tawfiq di Singapura, selepas RM5 bilion dikumpul oleh 1MDB pada 2009 menerusi Kumpulan Ambank.

Menurut laporan Utusan Malaysia, perkara itu terbongkar apabila SPRM berusaha mendapatkan semula aset 1MDB di dalam dan luar negara, yang membabitkan beberapa 'nama besar' yang dikaitkan dengan dana kekayaan negara.

"Antara aset 1MDB di luar negara adalah seperti di Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus dan Hong Kong bernilai RM20.5 bilion.

"Penglibatan individu ini dikenal pasti apabila Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura pada 12 November lalu, memulangkan wang milik bekas CEO (ketua pegawai eksekutif) SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil kepada kerajaan Malaysia, melalui Akaun Amanah Pemulihan Aset Kementerian Kewangan bernilai RM3,617,513.91 (AS$864,813.27)," kata laporan itu.

Akhbar harian Bahasa Melayu itu sebelum ini turut melaporkan, Singapura memulangkan aset berjumlah RM64.42 juta (AS$15.4 juta) melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd, yang dimiliki oleh Tawfiq dan rakan perniagaannya Samuel Goh.

Mengulas mengenai siasatan ke atas Zeti dan Nor Mohamed, sumber yang dipetik berkata, SPRM sedang menyiasat dakwaan salah laku, dengan laporan itu menyatakan setiap pelaburan yang melibatkan dana 1MDB pada masa itu pastinya dalam pengetahuan Nor Mohamed.

Akhbar itu menambah, sumber itu berkata bahawa, SPRM sedang menyiasat individu itu di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram 2001.

Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram SPRM, Mohammad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan daripada badan bukan kerajaan (NGO), yang mendesak supaya siasatan dijalankan ke atas Zeti dan Nor Mohamed pada 22 Disember.

"Menurut Zamri, pihaknya juga menerima laporan yang dibuat oleh Najib pada Oktober tahun lalu terhadap bekas pengurus kanan Goldman Sachs, Tim Leissner," kata laporan akhbar itu.

Katanya, Zamri turut mengesahkan bahawa siasatan telah dijalankan ke atas kedua-dua aduan itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram