PROSIDING kes Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai, yang sepatutnya didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat, ditangguhkan selepas seorang peguamnya disahkan positif Covid-19.
Pada 18 Februari (Jumaat) ditetapkan bagi mendengar hujahan pasukan pembelaan yang membantah percubaan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengemukakan sendiri hujahannya terhadap permohonan Rosmah untuk membatalkan kelayakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu daripada bertindak sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes berkenaan.
Peguam Datuk Geethan Ram Vincent, yang mewakili Rosmah berkata, pihaknya menghantar e-mel kepada Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas selepas prosiding kes itu pada Khamis, bagi memaklumkan perkara itu.
Dalam e-mel itu menyatakan selepas pasukan pembelaan meninggalkan mahkamah pada Khamis iaitu pukul 2.48 petang, seorang daripada peguam menerima laporan patologi yang mengesahkan bahawa beliau positif Covid-19. Laporan ujian patologi turut disertakan dalam e-mel berkenaan.
"Kami memohon prosiding pada Jumaat ditangguhkan kerana semua pihak yang berada di mahkamah pada Khamis adalah kontak rapat kepada peguam itu,” kata Ram Vincent.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn ketika dihubungi berkata, tarikh pendengaran baharu bagi permohonan itu ditetapkan pada 2 Mac ini.
Pada 27 Januari lalu, Rosmah menfailkan notis usul bagi membatalkan kelayakan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan pengubahan wang haram dan pengelakan cukainya.
Dalam afidavit sokongannya, Rosmah mendakwa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bertindak di luar bidang kuasanya apabila melantik Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan untuk mengetuai siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pendakwaan terhadap mereka yang terlibat.
Rosmah berkata, selepas meneliti surat pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan sebagai timbalan kanan pendakwa raya bertarikh 21 Mei 2021, mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah, beliau mendapati pelantikan itu tidak merujuk kepada kesnya.
Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram