Pelaburan luar negara 1MDB tertakluk Akta Kawalan Pertukaran Wang — BNM


  • Bizz
  • Khamis, 24 Feb 2022

BNM dikecam warganet selepas didakwa memberi kelulusan kepada 1MDB untuk melabur di luar negara. — Gambar hiasan/Facebook

BANK Negara Malaysia (BNM) pada Khamis menjelaskan kesemua pelaburan di luar negara oleh entiti pemastautin tertakluk pada syarat di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang (AKPW) 1953.

Akta berkenaan dikuatkuasakan sebelum 2013 dan diganti oleh Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

BNM menambah, syarat-syarat tersebut dan kriteria yang mengawal pelaburan tersebut adalah telus dan diterbitkan dalam laman sesawang BNM.

"Kesemua permohonan yang dihantar oleh 1MDB, termasuk permohonan yang dinyatakan di atas, adalah tertakluk pada kriteria kelulusan dan proses tadbir urus dalaman yang digunakan dalam mana-mana permohonan yang dihantar oleh entiti-entiti lain kepada BNM,” ujarnya dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Kenyataan BNM tersebut adalah merujuk testimoni saksi dalam perbicaraan yang sedang berlangsung di New York, Amerika Syarikat (AS) berhubung kelulusan yang diberikan oleh BNM kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk melabur di luar negara pada 2009.

BNM turut mengulas laporan terdahulu mengenai maklumat yang diterima daripada unit perisikan kewangan (FIU) asing yang berkaitan dengan akaun milik suami kepada bekas gabenor.

Dalam hal terbabit, menurut BNM, maklumat diberikan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan pada April 2016 selaras dengan tanggungjawab BNM di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram