‘Ayaq pun tak boleh setel, ada hati nak buat stadium baharu’


KDA FC berhasrat untuk membina sebuah stadium baharu bernilai RM70 juta. — KDA FC

SYARIKAT Air Darul Aman (Sada) pada Isnin mengumumkan bahawa gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Kedah terpaksa dilanjutkan berikutan kerja-kerja pemasangan meter dan injap mengalami masalah teknikal.

Menurut notis yang dikeluarkan di Facebook rasminya itu, Sada menjangkakan bahawa kerja-kerja pemasangan itu akan berakhir pada jam 9 pagi Selasa.

Perkara itu mengundang kecaman netizen yang rata-rata tidak berpuas hati dengan syarikat air tersebut kerana memberikan notis mengejut, menyebabkan penduduk tidak mempunyai masa untuk membuat persiapan.

Tambah netizen, ini bukanlah kali pertama Sada bertindak sedemikian dan ramai yang sudah tidak tahan dengan gangguan bekalan air yang sering berlaku.

Salah seorang netizen, Ezryl Saad membangkitkan mengenai pembinaan stadium bagi pasukan bola sepak negeri, Kedah Darul Aman (KDA) FC yang diumumkan baru-baru ini.

"Ayaq pun tak leh setel.. ada hati nak wat stadium baru," katanya.

Screenshot 2022-02-22 at 8.31.33 AM

Komen Ezryl Saad di Facebook.

KDA FC menerusi laman web rasmi mereka memuat naik satu dokumen ‘Club Prospectus 2022,’ yang menyatakan bahawa kelab itu mempunyai projek masa hadapan bagi membina sebuah stadium baharu bernilai RM70 juta.

Selain stadium berkenaan, sebuah tempat latihan juga akan dibina dengan melibatkan kos RM20 juta.

Presiden KDA FC yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, stadium berkenaan yang akan dibina di Sungai Petani itu, bakal menyediakan pelbagai kemudahan dan akan menjadi pusat latihan pemain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram