KENYATAAN Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zailani Hashim yang merancang untuk menggantung atau membatalkan permit institut memandu atas kesalahan lalu lintas yang disebabkan oleh bekas pelajar mereka mengundang kecaman orang ramai.
Beliau dilaporkan berkata, kod akan diletakkan di lesen memandu bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan institut memandu, yang memberi latihan kepada pesalah trafik.
Turut memberi respons berkaitan perkara itu adalah Pengarah Operasi Safety Driving Centre, CT Balan yang mendakwa, JPJ tidak berhak berbuat demikian kerana pegawainya sendiri adalah penilai akhir pelajar.
Pada masa sama, rata-rata netizen juga tidak sependapat dengan Zailani dan ada yang menganggap cadangan itu seolah-olah tidak relevan.
Pengguna Facebook, Abd Rahman sebaliknya mencadangkan supaya pegawai JPJ yang mengendalikan ujian dan meluluskan lesen kepada pemandu yang membuat kesalahan lalu lintas sepatutnya digantung tugas.
Katanya, nama pegawai JPJ yang meluluskan lesen tersebut perlu dicatat pada setiap lesen pemegang, bagi memudahkan rujukan untuk tindakan.
"Apa macam, setuju ke bagi pihak JPJ? Selain cadangan tindakan terhadap kelas memandu? Rasa baru win and win," katanya.
TANGKAP layar komen netizen di laman Facebook.
Turut berpendapat sama, JIB Bert Jr. berkata, individu yang meluluskan dan menilai kelayakan lesen untuk adalah pegawai JPJ.
Maka, katanya, individu yang sepatutnya dikenakan tindakan adalah pegawai yang menilai pemandu yang baru mengambil lesen.
"Kenapa pula sekolah memandu dipersalahkan. Semakin pelik undang-undang di Malaysia ni," katanya hairan.
Sementara itu, Raj Jega berkata, mengambil tindakan ke atas institut yang memberi latihan adalah tidak wajar kerana pegawai JPJ yang menguji pemandu terlibat dalam perkara itu.
"Kalau hendak membetulkan mungkin boleh mengawas atau memantau cara dan sistem bagaimana latihan diberi kepada pelajar memandu.
"Menguruskan satu sistem bagaimana kualiti dan disiplin kepada pelajar memandu dijalankan. Ramai lepas dapat lesen saja sudah jadi raja atas jalan," katanya.
TANGKAP layar komen netizen di laman Facebook.
Mengulas perkara sama, Amir Bahar Hj Latiff berkata, isu itu sepatutnya ditekankan kepada sikap pemandu yang lalai dan bukannya ke atas institusi memandu.
Beliau berkata, antara kesalahan pemandu adalah seperti tidak menghiraukan had laju, memotong di kawasan tidak dibenarkan memotong (garisan berkembar), memandu di bawah pengaruh alkohol, memandu sambil bercakap di telefon serta tidak cukup tidur atau mengantuk.
"Semua ini sikap pemandu. Adalah tidak wajar menyalahkan institusi memandu sekiranya berlaku kemalangan jalan raya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram