KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) menegaskan, tindakan untuk membatalkan permit institut memandu (IM) dan menarik balik sijil tenaga pengajar yang mempunyai rekod ramai pemegang lesen dari institut berkenaan terbabit dalam kemalangan jalan raya hanyalah pandangan peribadi Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sebarang hala tuju dasar atau apa jua cadangan penambahbaikan perlulah dikaji secara holistik dan saintifik terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.
"Sebarang hala tuju dasar atau apa jua cadangan penambahbaikan sudah tentunya akan dikaji secara holistik dan saintifik terlebih dahulu oleh MOT dengan mengambil kira pelbagai aspek berkaitan termasuk keberkesanannya, kebolehlaksanaanya dan keupayaannya untuk mencapai objektif yang ditetapkan.
"MOT tidak mahu menuding jari secara melulu terhadap pihak tertentu dan seterusnya mempersalahkannya semata-mata berdasarkan andaian atau hipotesis yang tidak berasas.
"Kajian terperinci ini juga akan turut melibatkan sesi libat urus bersama semua pihak yang berkepentingan bagi mendapatkan pandangan serta cadangan penambahbaikan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelasnya, MOT bersama agensi-agensi di bawahnya akan meneruskan aktiviti advokasi dan penguatkuasaan sedia ada bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pematuhan kepada peraturan jalan raya dan aspek keselamatan jalan raya di seluruh negara.
"MOT serius dan komited dalam memastikan jalan raya kekal selamat digunakan oleh semua pihak," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram