Wartawan kedua dibunuh dalam tempoh seminggu


  • Benua
  • Rabu, 26 Jan 2022

ANGGOTA pasukan forensik berada di tempat kejadian di mana seorang wartawan, Maldonado ditembak mati di luar rumahnya di bandar sempadan utara Tijuana, Mexico. — Agensi

SEORANG wartawan yang sebelumnya pernah meminta pertolongan Presiden Mexico kerana bimbang keselamatannya telah ditemui terbunuh di Tijuana, Mexico pada Ahad lalu.

Pembunuhan itu adalah insiden pembunuhan kedua yang membabitkan pengamal media dalam tempoh kurang seminggu di bandar utara Mexico itu.

Pejabat pendakwa raya Baja California memaklumkan, wartawan itu, Lourdes Maldonado diserang dengan senjata api ketika wanita itu berada di dalam kenderaannya.

Dalam satu sidang media, Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador menjanjikan siasatan penuh ekoran pembunuhan wartawan itu dan dia juga meminta agar penyisat perlu menilai segala kemungkinan berkaitan dengan kes itu.

Terdahulu, pada 2019 mangsa pernah memohon bantuan daripada Presiden Mexico itu kerana bimbangkan keselamatan dan nyawanya.

Sumber yang mengetahui kes itu berkata, Maldonado telah didaftarkan dalam program perlindungan wartawan negara itu dan beberapa pegawai polis juga ditugaskan untuk menjaga rumahnya.

Dari 2000 hingga 2021, kumpulan hak asasi manusia Artikel 19 telah mencatatkan 145 pembunuhan wartawan di Mexico dengan tujuh kematian tahun lalu.

Pembunuhan Maldonado berlaku tidak sampai seminggu selepas wartawan foto Mexico, Margarito Martinez, 49, dilaporkan meninggal dunia ekoran ditembak di kepala dan kejadian berlaku di luar rumahnya di Tijuana.

Maldonado adalah wartawan ketiga yang terbunuh di Mexico tahun ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram