Lonjakan kluster pendidikan, 62 kluster dikesan dalam seminggu


  • Primer
  • Sabtu, 22 Jan 2022

INSTITUSI pendidikan termasuk sekolah melaporkan peningkatan kes jangkitan Covid-19. — Gambar hiasan / Bernama

KIRA-KIRA 70 peratus atau 62 kluster daripada 89 kluster baharu yang dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tempoh seminggu (15 Januari hingga 21 Januari 2022) melibatkan institusi pendidikan.

Rekod kluster pendidikan tertinggi dilaporkan pada 19 Januari lalu iaitu 16 daripada 20 kluster baharu yang dikesan.

Pada Jumaat (21 Januari), 11 daripada 12 kluster yang dilaporkan oleh KKM adalah kluster pendidikan, iaitu masing-masing dua di Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Pahang, sementara satu di Johor.

Sebanyak 11 kluster pendidikan turut dilaporkan pada 18 Januari dan 11 kluster lagi pada 20 Januari lalu.

Antara negeri yang melaporkan kluster pendidikan ialah Melaka, melibatkan dua buah kolej vokasional iaitu Kolej Vokasional Melaka Tengah (76 kes) dan Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar (11 kes).

Di Sabah, antara kluster pendidikan dikesan iaitu Kluster Jalan Kepayan Lama-Tambunan melibatkan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan dan setakat ini 36 kes positif Covid-19 dikesan.

Satu lagi kluster pendidikan yang dilaporkan, Kluster Pandan-Pandan dengan 16 kes positif setakat ini, melibatkan sebuah madrasah di daerah Putatan.

Di Kedah, antara kluster pendidikan yang dilaporkan termasuk Kluster Dah Penyarum (115 kes) dan Kluster Dah Jalan Merbau (52 kes) manakala di Pulau Pinang, Kluster Jalan Sungai Nipah (83 kes).

Sementara itu, Malaysia mencatat sebanyak kes 489 kes import pada Jumaat membabitkan 388 warganegara dan 101 bukan warganegara.

Kes import tertinggi setakat ini dilaporkan pada 20 Januari dengan 522 kes, terdiri daripada 426 warganegara dan 96 bukan warganegara.

Kuala Lumpur terus mencatat kes import tertinggi pada Jumaat sebanyak 190. Kes import tinggi yang lain bagi wilayah itu adalah pada 20 Januari sebanyak 274 kes, 16 Januari (145 kes), 18 Januari (135 kes) dan 19 Januari (136 kes). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram