'Zaman bila ni simpan rekod perubatan secara manual?'


GAMBAR tular menunjukkan deretan rekod perubatan pesakit yang terjejas akibat banjir dikeringkan di atas kerusi.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) dikritik hebat oleh netizen selepas satu gambar menunjukkan deretan rekod perubatan pesakit yang terjejas akibat banjir dikeringkan di atas kerusi.

Pada Selasa, seorang pengguna Twitter, @chairman_GLC memuatnaik satu ciapan berserta gambar mengkritik cara Kementerian Kesihatan (KKM) menyimpan rekod perubatan pesakit secara manual.

Dia mempersoalkan kewajaran KKM menyimpan rekod secara manual memandangkan ratusan juta ringgit sudah dibelanjakan untuk membangunkan Hospital Information System (HIS).

"Rekod perubatan yang rosak akibat banjir terpaksa disidai untuk dikeringkan. Apa guna sistem HIS (Hospital Information System) yang bernilai ratusan juta ringgit dibangunkan kalau kita masih lagi kena simpan rekod secara manual macam ni?

"Rekod pesakit kena simpan 7 tahun dari tarikh terakhir lawatan. Pediatrik 18 tahun, Obstetrik & Ginekologi 25 tahun. Selepas itu barulah diarkibkan.

"Ini yang masih boleh diselamatkan. Macam mana pulak rekod yang tak boleh diselamatkan? Bagaimana pesakit nak cari balik rekod mereka?vIni soal nyawa rakyat," ciapnya pada Selasa.

rekod pesakit netz

CIAPAN netizen yang mempersoalkan cara penyimpanan rekod pesakit oleh KKM.

Tegasnya, KKM sepatutnya boleh menjimatkan kos tertentu dengan memanfaatkan teknologi berkenaan.

"Cuba bayangkan berapa banyak kos dapat dijimatkan daripada kesilapan diagnos pesakit dan pemberian ubat, ketirisan pembelian ubat dan barangan lain, pemindahan data antara hospital serta dapat mengurangkan kos menyimpan rekod (kertas, alat tulis, dan sebagainya)," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

rekod perubatan, pesakit, kkm, hospital, banjir