'Sindir KKM, takkan orang agama pun tak reti sabar?'


KERAJAAN menangguhkan kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini. — Agensi

SEORANG wanita kesal apabila salah seorang rakannya yang membuat sindiran dan menganggap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersifat berat sebelah.

Sakinah Sulong berkata, rakannya menerusi laman Facebook mendakwa, kementerian itu hanya membuat sekatan ke atas individu yang melakukan ibadah umrah.

Namun, katanya, perkara sama tidak dilakukan terhadap mereka yang berkunjung ke konsert dan berbikini.

Sindiran itu tidak dipersetujui Sakinah.

"Kerana saya pandang tinggi pada kawan FB ini. Walaupun tak pernah bertemu muka. Kalau pergi umrah, majoritinya berusia emas.

"Tempatnya memang ramai manusia bertumpu ke sana. Daripada segala pelusuk dunia. Kita yang pernah pergi pastinya faham," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Terdahulu, kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini, berikutan peningkatan kes varian Omicron dalam kalangan jemaah umrah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdasarkan penilaian risiko situasi varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi.

Sebelum itu, katanya, perbincangan khas bersama beberapa agensi terbabit umrah diadakan disusuli Mesyuarat Khas Kuartet yang dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Selasa.

Beliau berkata, hasil perbincangan itu kerajaan memutuskan tidak ada perjalanan mengerjakan umrah selepas tarikh berkenaan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Mengulas lanjut, Sakinah juga percaya KKM tidak akan menyekat kebenaran perjalanan umrah untuk tempoh selama-lamnya.

Katanya, selepas 3 Januari, semua jemaah diwajibkan kuarantin di tempat khas untuk mengurangkan penularan kepada masyarakat tempatan, yang mana larangan itu hanya sementara.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bilangan jemaah akan dihadkan sedikit selepas ini, namun keadaan terkawal adalah perkara lebih penting sebelum menjadi lebih buruk.

"Janganlah syak wasangka sangat. Sabarlah, ke Tanah Suci ni, kan tetamu ALLAH.

"Jemputan ALLAH. Kalau ALLAH dah izinkan, InsyaALLAH akan sampai juga.

"Takkan orang agama pun tak reti nak sabar, kan? " soalnya sinis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sakinah Sulong, KKM, umrah, rakan