Harapan 2022: Rakyat mahu 'one-off' KWSP jadi penyelesaian terakhir


MANGSA banjir pastinya berdepan kekangan kewangan akibat kerosakan harta benda dan sebagainya dalam waktu yang mencabar ini. — Gambar hiasan/ The Star

RAKYAT khususnya mangsa banjir yang ditimpa musibah akibat bencana itu baru-baru ini sebenarnya mengharapkan bantuan tunai mencukupi daripada pihak kerajaan. Justeru apabila bantuan yang disalurkan dikatakan tidak mencukupi, maka rakyat menuntut pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Seorang pengguna Facebook, Abdul Rahim Hilmi Zakariya mempersoalkan mengapa bantuan tunai yang diberikan kerajaan untuk bencana buruk kali ini yang disifatkan lebih teruk daripada yang pernah berlaku di Kemaman, Terengganu pada tahun 2013, hanya RM1,000.

"Isu sebenarnya adalah tunai. KWSP cumalah satu penyelesaian terakhir apabila kerajaan dilihat tidak begitu bersungguh berbelanja untuk rakyat ketika bencana.

"Ketika banjir besar Kemaman 2013, mangsa-mangsa dapat tunai RM2,000 dan barangan rumah bernilai RM5,000 meliputi peti sejuk, televisyen, tilam, dapur dan sebagainya. Maka takkanlah ketika banjir Selangor dan Pahang yang lebih besar skala bencananya ini, mangsa cuma dapat tunai RM1,000 sahaja?," tulisnya di Facebook baru-baru ini.

Abdul Rahim pada masa sama menyifatkan, moratorium tanpa faedah yang ditawarkan oleh kerajaan melalui beberapa institusi pembiayaan kepada mangsa banjir hanya akan menambah beban mereka.

"Betul kita ini mungkin negara pertama yang tawarkan pinjaman tanpa faedah kepada mangsa banjir. Tapi punca kenapa negara lain tak buat bukanlah kerana cara itu bijak. Melainkan sebab cara itu pada hujung moratorium hanya akan menambah beban.

"Siapa kita nak mengatakan selepas enam bulan moratorium itu, maka semua mangsa dah boleh bayar balik pinjaman masing-masing. Adakah kita sudah jelas dengan demografi dan sosioekonomi peminjam? Ketika bencana, adalah tanggungjawab kerajaan menyediakan tunai bagi pemulihan rakyat," katanya.

Dia turut berpendapat bahawa amalan pemberian pembiayaan tanpa faedah itu adalah adalah amalan biasa di negara luar seperti di Filipina yang memberikan bantuan tunai one-off dan kemudiannya berkala sebanyak AS$100 (RM417) sebulan kepada mangsa taufan selama enam bulan.

"Negara United Kingdom dan Jerman pula masing-masing menyediakan 5,000 pound (RM23,627.40) dan 3,500 euro (RM16,539.18) kepada mangsa banjir mereka, setahun dua lepas," katanya.

HANTARAN status Abdul Rahim berhubung isu pengeluaran KWSP. — Facebook

Sementara itu, dari sudut ekonomi Islam, Abdul Rahim berkata, kecairan sifat zakat yang mengkhususkan kepada asnaf tertentu menyebabkan duit zakat itu kebiasaannya akan terus dibelanja di kawasan setempat.

"Inilah punca kenapa pemberian zakat secara automatik akan menyebabkan kenaikan aliran tunai di kawasan sekitar.

"Kajian Philippines Institute for Development Studies pada 2014 menunjukkan bahawa 75 peratus bantuan tunai yang diberikan kepada mangsa taufan Yolanda akan dibelanjakan serta-merta bagi keperluan asas seperti makanan dan ubat-ubatan.

"Kesannya 61 peratus daripada isi rumah berjaya pulih dalam tempoh kurang enam bulan. Ini semua sebenarnya adalah konsep yang dicedok daripada prinsip zakat dalam Islam. Jadi kenapa kita nak menambah beban emosi dengan melambakkan hutang kepada isi rumah?," persoalnya.

Dia berkata, jika dirinya berada di tempat Perdana Menteri, dia akan malu apabila rakyat terpaksa merayu meminta duit sendiri (KWSP) sedangkan itu tanggungjawab pemerintah untuk memastikan keperluan rakyat dipenuhi.

"Bencana banjir ini ada tiga fasa. Fasa menyelamat, kerajaan sudah separa gagal apabila lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan datang menabur jasa. Fasa kedua (pembersihan) pun dilihat gagal apabila lebih ramai sukarelawan yang datang sedangkan menteri-menteri lebih sibuk berpropaganda.

"Sekarang fasa ketiga iaitu pemulihan. Adakah anda mahu gagal untuk kali ketiga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri?," tulisnya mengakhiri catatan tersebut.

Hantaran Facebook Abdul Rahim itu mendapat 1,300 tanda suka dan 172 perkongsian setakat petang Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram