'One-off' KWSP lagi baik daripada pinjaman tanpa faedah


  • Massa
  • Jumaat, 31 Dis 2021

PELBAGAI instrumen termasuk pengesahan majikan boleh dijadikan penilaian kerajaan dalam memberikan kebenaran pengeluaran KWSP. — Gambar hiasan / The Star

KERAJAAN diminta untuk memikirkan cara bagi membolehkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetap dapat direalisasikan kepada rakyat yang terkesan dengan bencana banjir, walaupun jumlahnya hanya RM5,000.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Mohammad Rizan Hassan berkata, kerajaan boleh mengenal pasti individu terlibat menerusi instrumen penyaluran bantuan sedia ada bagi menilai tahap kelayakan mereka.

Menurutnya, pengesahan daripada majikan bahawa individu berkenaan terlibat banjir dan mengalami kerugian besar, juga boleh diguna pakai sebagai salah satu kaedah untuk menyokong pengeluaran caruman KWSP mereka.

"Apabila berlakunya banjir buruk baru-baru ini, saya lihat ia boleh diibaratkan sebagai satu kemusnahan, jadi saya berpendapat mangsa yang terjejas khususnya golongan pekerja bawahan amat memerlukan bantuan pengeluaran one-off KWSP.

"Kalau tidak dapat angka RM10,000, pengeluaran RM5,000 pun dilihat sudah cukup untuk meringankan beban mereka," katanya kepada Majoriti.

61539339265_MohammadRizanHassan

MOHAMMAD RIZAN berpendapat mangsa yang terjejas khususnya golongan pekerja bawahan amat memerlukan bantuan pengeluaran one-off KWSP. — Facebook

Mengulas lanjut, Mohammad Rizan berkata, golongan pekerja bawahan yang terjejas memerlukan pengangkutan dan bantuan awal dari segi keperluan harian dan makanan untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup masing-masing.

"Saya bagi contoh, ada antara mangsa banjir yang kehilangan motosikal atau kereta, kalau boleh dibaiki sekalipun, ia akan menelan belanja besar. Situasi ini boleh merencatkan motivasi mereka untuk kembali bekerja.

"Ditambah pula, dalam tempoh seminggu dua lagi sesi persekolahan akan bermula, jadi yang ini pun memerlukan perbelanjaan walaupun tak banyak tapi tetap memberi kesan kepada kewangan," katanya.

Sementara itu, perunding kewangan, Aliff Shanusi pula berpendapat, pengeluaran KWSP secara one-off untuk tujuan meneruskan kelangsungan hidup pasca bencana adalah lebih baik daripada pinjaman tanpa faedah kerana rakyat yang sedia susah tidak akan dibelenggu dengan bebanan hutang.

Katanya, dalam keadaan mendesak, rakyat yang ditimpa musibah tidak mempunyai banyak pilihan melainkan menggunakan duit KWSP mereka sendiri.

"Elak berhutang, jika tidak mampu bayar pembiayaan itu, nama akan buruk atau disenarai hitam sekali gus tidak membolehkan mereka buat urusan kewangan di masa hadapan.

"Hutang juga menambah masalah dan stres kepada rakyat yang sudah sedia terbeban dengan dugaan lain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram