'Penangguhan sesi persekolahan beri ruang emosi pelajar pulih'


KPM mengumumkan bahawa sesi persekolahan bagi penggal tiga 2021/2022 akan ditangguhkan selama seminggu ekoran banjir yang melanda. — Bernama

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) pada Jumaat mengumumkan bahawa sesi persekolahan bagi penggal tiga 2021/2022 akan ditangguhkan selama seminggu.

Ini bermakna, sesi persekolahan bagi Kumpulan A akan bermula pada 9 Januari manakala bagi Kumpulan B bermula 10 Januari berbanding 2 Januari yang dijadualkan sebelum ini.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, langkah itu dibuat berikutan banjir yang memberi kesan kepada para guru, pelajar dan ibu bapa secara langsung serta tidak langsung selain sekolah yang terjejas akibat bencana tersebut atau dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Seorang pengguna Facebook, Nigela Sativa menyambut baik langkah KPM itu dan menyifatkan penangguhan itu dapat memberi ruang buat mangsa terutamanya para pelajar untuk pulih dari gangguan emosi.

Menurutnya, mungkin ada pihak yang mempertikaikan keputusan KPM untuk menangguhkan sesi persekolahan memandangkan pelajar sudah ketinggalan akibat Covid-19 yang melanda sejak tahun lalu.

Netz KPM

Luahan Nigela Sativa di Facebook.

"Kita yang tak terjejas banjir mungkin kata buka saja (sekolah). Bila anak nak pandai.

"Tempoh seminggu ini dapat menjadi satu garis waktu bagi anak-anak kita menguatkan kembali jiwa raga mereka yang trauma," katanya.

Jelasnya, ketika ini adalah penting buat para pelajar untuk menstabilkan emosi mereka terlebih dahulu selepas diuji dengan bencana banjir.

"Pendidikan bukan hanya berorientasikan tentang membaca buku, menghafal atau hadir kesekolah semata-mata.

"Pendidikan itu menyeluruh dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek," ujarnya.

Dia berharap supaya tragedi banjir ini dapat memberi pendorong dan semangat buat anak-anak yang terjejas untuk bangkit di masa hadapan.

"Semoga mereka akan membesar sebagai anak yang punya rasa kemanusiaan yang begitu tinggi dan semoga ALLAH menjadikan anak anak kita sebagai anak-anak yang hebat dunia akhirat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram