Anggota bomba jawab tohmahan lambat selamat mangsa banjir


JBPM melakukan sedaya upaya untuk membantu mengeluarkan mangsa banjir dengan mengunakan apa sahaja aset yang ada. — The Star

"KAMI tidak mampu memuaskan hati semua orang," itu luahan seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohamad Akmal Mohamad Khairi.

Luahan itu dilakukan Mohamad Akmal sebagai respon terhadap tohmahan segelintir pihak yang menyalahkan JBPM kerana bantuan yang lambat tiba atau langsung datang menyelamatkan mangsa banjir.

Berkongsi di laman sosial Facebook, Mohamad Akmal menjelaskan bahawa pihak JBPM bukan seperti apa yang dicanang oleh kebanyakan pihak sebaliknya mereka melakuakn usaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan mangsa banjir.

Katanya, realiti operasi JBPM adalah jumlah keanggotaan dan aset yang terhad, malah 1 pasukan penyelamat terpaksa respons berpuluh malahan beratus panggilan terutama ketika bencana banjir.

"Bila berlakunya bencana, panggilan kecemasan yang masuk kebiasaannya akan bertalu-talu dan tanpa henti. Tidak termasuk lagi panggilan terus ke nombor peribadi anggota dan pegawai. Persoalannya, bagaimana kami nak hadir 10 tempat berbeza dalam masa yang sama?

"Kami bertugas mengikut SOP dan KPI yang ditetapkan. Amalan kami sama seperti agensi lain, iaitu safety first. Kami bukan boleh sebarangan melakukan tugas menyelamat tanpa ambil kira soal risiko pada diri sendiri mahupun rakan sepasukan," kongsinya dalam ciapan di Facebook pada Ahad.

Tambahnya lagi, hakikatnya pihak JBPM melakukan sedaya upaya untuk membantu mengeluarkan mangsa banjir dengan mengunakan apa sahaja aset yang ada termasuk mendukung dan pikul mangsa sehingga ke tempat selamat.

Katanya lagi, masyarakat tidak melihat perkara itu kerana dalam bertugas pihak JBPM tiada masa untuk merakam apa yang mereka lakukan semata-mata mahu menunjukkan kepada umum.

Mohamad Akmal turut meluahkan rasa kesal dengan golongan yang sewenangnya melemparkan tohmahan dan cacian kepada JBPM.

Dia juga pada masa sama mempersoalkan bahawa usaha menyelamat bukan hanya bergantung kepada agensi tetapi juga mangsa sendiri.

"Persoalan lagi, bila air naik, apa yang anda lakukan? Mengapa tidak bersiap untuk berpindah? Mengapa tidak turut bersama memberi amaran kepada yang lain untuk berpindah? Adakah kami ibarat hamba abdi anda untuk menurut segala perintah anda?

"Ada masanya, kami sanggup mengambil risiko tinggi demi menyelamatkan nyawa yang bahaya. Hingga ada kala nyawa kami ibarat di hujung tanduk ketika menyelamatkan anda. Risiko lemas, hanyut, dijangkiti kuman merbahaya dan ditimpa atau dilanggar objek dalam banjir sanggup kami hadapi untuk anda. Tetapi ada kalanya setelah kami menggadai nyawa, rupanya anda tidak langsung berada dalam bahaya," ujarnya.

Jelasnya lagi, dalam keadaan bencana, pihak JBPM sama ada anggota mahupun pegawai tidak pernah berkira soal waktu bekerja dan sentiasa bersedia untuk berkidmat walaupun pada hari cuti.

Dalam luahan itu juga, Akmal berharap supaya orang ramai tidak sewenangnya menhambur cacian dan tohmahan yang tidak berasas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram